Patrick Dorgu: Perjalanan Dari Denmark ke Manchester United Dengan Semangat Pantang Menyerah

Seorang remaja bernama Patrick Dorgu sedang berbasikal dalam hujan lebat di pulau Bornholm, Denmark.

Dia sudah pun menempuh perjalanan sejauh 25 kilometer, terjun ke dalam tasik dan mengayuh dengan bersungguh-sungguh untuk perjalanan pulang. Kayuhan sejauh 50 kilometer itu merupakan salah satu aktiviti pembinaan pasukan yang dirancang oleh pihak tentera untuk pemain B17 FC Nordsjaelland (FCN) dalam kem latihannya.

Namun dalam perjalanan pulang itu Dorgu mula menghadapi kesukaran.

“Sejujurnya, dia bukanlah yang terbaik dalam berbasikal,” kata Alexander Riget, pengarah teknikal FCN. “Dia terjatuh 3 atau 4 kali.”

Riget, yang mengikut kayuhan pemain muda itu dengan kereta untuk memantau perkembangan mereka menawarkan Dorgu untuk menumpang kenderaanya. Namun Dorgu dengan sopan menolak dan tetap berusaha untuk mengayuh hingga ke garisan penamat.

“Ia banyak menceritakan tentang Patrick kerana dia tidak pernah merungut,” kata Riget. “Dia bukan seorang yang mudah mengalah. Sepanjang perjalanan itu dia terus berusaha tanpa berhenti.”

Sikap pantang menyerah seperti itulah yang menjadi ciri utama dalam perjalanan hidup pemain baharu Manchester United ini.

Pemain berusia 20 tahun dari Denmark itu telah berpindah dari kelab Lecce di Serie A dan menandatangani kontrak selama 5 setengah tahun yang akan diberikan gaji sekitar £40,000 seminggu.


Sejak kecil, Patrick Dorgu sudah biasa bekerja keras untuk mencapai impian bola sepaknya. Dia dilahirkan di Denmark dalam keluarga berketurunan Nigeria. Pada usia 7 tahun, dia menyertai kelab Husum di Copenhagen dan bermain dalam pasukan yang lebih tua 2 tahun kerana mahu bermain bersama abangnya, Gabriel.

Biasanya, pemain akan diletakkan dalam kumpulan umurnya tetapi jurulatih pasukan, Iben Johnsen dan Simon Svendsen, memberi pengecualian kerana bakat yang dimiliki oleh Dorgu. Kelab Husum juga banyak membantu ibu bapanya, Paul dan Clara dengan memberi peluang kepada 3 anak lelaki mereka bermain di sana, sementara anak bongsu mereka, Annabel masih kecil pada waktu itu.

Dorgu berasal dari keluarga yang rajin dan sederhana. Bapanya, Paul bekerja keras dengan melakukan dua pekerjaan termasuk menjalankan perniagaan sendiri dalam bidang pembersihan. Dengan sokongan ibunya, Clara mereka berusaha siang malam supaya anak-anak mereka boleh bersekolah di sekolah swasta dan mendapat pendidikan terbaik.

Kini adiknya, Ifenna bermain untuk kelab Genoa di Serie A pada usia 18 tahun, sementara Gabriel bermain di liga bawahan Denmark. Annabel pula menceburi sukan bola baling.

“Ibu bapa mereka berusaha keras untuk memastikan Patrick dan adik-beradiknya berjaya,” kata Riget.


Di sekolah, Dorgu susah untuk duduk diam. Dia sering menggumpal kertas menjadi bola kerana terlalu ingin bermain. Bila dia makin besar, kawan-kawannya sibuk dengan media sosial dan permainan video tetapi dia tetap dengan bolanya walaupun pada hari dia tak ada latihan.

“Dia memang suka bola sepak,” kata Johnsen, yang pernah bantu keluarganya memohon kewarganegaraan Denmark dan juga memberi sokongan kewangan supaya mereka boleh menyertai kejohanan di seluruh negara. “Bagi dia, bermain bola bukan satu beban. Memang bagus dia dapat jaminan masa depan dan dia melakukan semua ini bukan kerana duit. Ia memang minatnya sejak kecil.”

Sekarang, kontraknya di Manchester United jauh berbeza dengan kehidupannya 10 tahun lepas. Dahuli, dia dan abang-abangnya hanya menaiki basikal ke Husum dengan penuh kegembiraan. Masa itu, Dorgu seorang yang pemalu dan hormat kepada pemain yang lebih tua di kelab.

“Dia kecil, tapi sangat laju,” kata Svendsen. “Saiz dia mungkin satu masalah tetapi kalau dia kena tolak atau jatuh, dia akan bangun semula dan terus berusaha, sentiasa dengan senyuman. Dia tidak pernah merungut langsung.”


Abangnya Gabriel, bermain sebagai penjaga gol dan Patrick merupakan peminat Chelsea sejak kecil, dia suka melihat aksi Eden Hazard dan bermain sebagai penyerang atau sayap kiri.

“Dia selalu ada di tempat yang betul pada masa yang tepat. Dia banyak menjaringkan gol dan sentiasa fokus ke depan. Masalahnya dia kurang berminat untuk turun membantu bertahan. Dia lebih suka tunggu bola datang kepadanya di atas,” kata Svendsen sambil ketawa.

Pada usia 10 tahun, Dorgu berpindah ke Akademisk, sebuah kelab berhampiran ibu kota Denmark. Ketika itu dia masih bermain dalam kumpulan umur lebih tua dan bakatnya menarik perhatian pencari bakat FCN.

Johannes Hoff Thorup, yang melatih pasukan B14 FCN, bersama Riget telah mengembara 3 jam dari Farum ke Jutland, di barat Denmark untuk menonton satu kejohanan yang berlangsung selama 3 hari. Dorgu berjaya mencuri perhatian mereka dengan menjaringkan beberapa gol.

Pada usia 12 tahun Dorgu menyertai FCN. Kelebihan fizikalnya menjadi aset utama. “Ketahanan dan staminanya untuk berlari ke depan dan ke belakang sangat mengagumkan,” kata Riget, yang menjadi jurulatih B15 Dorgu. Dia bermain di pelbagai posisi—penyerang, sayap kiri atau kanan dan juga pertahanan. Tetapi pada usia 15 tahun, dia mula banyak bermain sebagai bek kiri atau wing-back.

“Dia boleh berlari laju berulang kali yang sesuai dengan posisinya,” kata Riget, sambil menekankan ketahanan fizikal Dorgu. “Sepanjang 7 tahun di FCN, dia tidak pernah mengalami kecederaan. Dari segi fizikal, dia pemain yang sangat boleh dipercayai.”

Dorgu sendiri menekankan kepentingan mentaliti ketika ditemu bual MUTV selepas menyertai United dari Lecce. Sikapnya yang fokus dan tidak mudah mengalah sudah boleh dilihat sejak awal.


Selain perlu belajar memasak sendiri, tidur di atas tilam gulung di dalam dewan sukan dan merancang latihan bola sepak, pemain muda FCN juga perlu menyelesaikan pelbagai cabaran. Salah satunya ialah misi menyelamatkan patung yang mewakili jurulatih utama FCN ketika itu, Flemming Pedersen dari rumah yang kononnya terbakar. Dorgu dan rakan sepasukannya termasuk Conrad Harder (kini bermain untuk Sporting CP di Portugal) terlibat dalam cabaran itu.

“Dia memang bersungguh-sungguh mahu menang tetapi ada rakan sepasukan yang tidak cukup laju untuk mengikut rentaknya,” kata Riget. “Patrick bukan jenis yang mementingkan diri, rakan-rakannya sukakan dia, cuma kadang-kadang dia terlalu fokus mahu menang sampai terlupa perkara lain. Dia tidak suka kalah. Dia bukan jenis yang marah-marah atau menjerit tetapi kalau kalah, dia memang akan kecewa.”

Di FCN, Dorgu bukan saja dilatih sebagai pemain bola tapi juga diberi pendedahan lebih dari itu. Dia berpeluang pergi ke akademi Right to Dream di Ghana 2 kali ketika remaja. Akademi ini membeli FCN pada tahun 2015.

“Di FCN, kami bukan sekadar ajar mereka menjadi pemain bola tetapi juga membentuk mereka menjadi manusia yang baik,” jelas Riget. “Mereka tak boleh hanya duduk dengan kemewahan hotel lima bintang sejak umur 15 tahun.”


Dorgu tidak pernah beraksi untuk pasukan utama FCN. Pada Julai 2022, ketika berusia 17 tahun, dia berpindah ke akademi Lecce yang terletak di selatan Itali. Ketika itu, FCN sudah mempunyai pemain yang lebih berpengalaman di posisinya (Martin Frese, yang kini bermain untuk Verona), dan Daniel Svensson (baru sahaja menyertai Borussia Dortmund secara pinjaman).

Selepas dua setengah tahun di FCN, Dorgu menulis di media sosial: “FCN satu-satunya kelab yang benar-benar percaya kepada saya dan saya amat berterima kasih kerana membantu saya menjadi pemain seperti hari ini.”

“Lecce datang pada waktu yang tepat,” kata Riget. “Dalam pembangunan pemain muda, mendapatkan minit permainan di peringkat senior sangat penting. Beraksi dalam salah satu dari 5 liga terbaik Eropah telah mempercepatkan perkembangan Dorgu.”

Dorgu membuat penampilan sulungnya di peringkat senior pada Ogos 2023. Musim 2024-25, dia menjadi pemain penting untuk Lecce. Dia memulakan 21 perlawanan liga walaupun ia baru musim keduanya dalam bola sepak profesional.

Pada September lalu, dia bermain untuk skuad kebangsaan Denmark dan telah memberi impak segera. Dia menjaringkan gol hanya 42 saat selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan kejohanan Nations League menentang Switzerland.

“Kerja bertahan dia sudah banyak meningkat,” kata Riget. “Dia makin matang, jisim otot bertambah—ia penting untuk dia naik ke tahap seterusnya. Dia juga bagus dalam menggolek bola untuk mengelak lawan. Tapi dia masih boleh perbaiki first touch dan pertahanan satu lawan satu.”


Dorgu masih berhubung dengan bekas jurulatihnya, malah Riget baru-baru ini berbincang dengan ibunya mengenai permit kerja untuk perpindahannya ke England. Sepanjang bermain di Itali, dia jarang pulang ke Denmark tetapi dia tidak pernah melupakan orang yang membantunya sepanjang perjalanan.

FCN juga mempunyai klausa jualan semula dalam perjanjiannya dan berharap suatu hari nanti Dorgu akan kembali kesana sama ada sebagai pemain atau jurulatih untuk berkongsi pengalamannya dengan generasi baru.

Setiap kali pulang ke Denmark, Dorgu akan meluangkan masa menonton sesi latihan FCN dan pernah menghadiahkan salah satu jersinya di Lecce kepada kelab lamanya, Husum. Ketika ditanya oleh pemain muda di sana bagaimana untuk berjaya seperti dirinya, dia hanya berkata: “Perlu kerja keras dan dengar cakap jurulatih.”

Tiada siapa yang boleh untuk melakukan langkah besar ke kelab sebesar Manchester United tetapi Johnsen tetap menghantar pesanan kepadanya selepas perpindahannya diumumkan: “Jangan ubah diri kerana duit. Kekal merendah diri.”

“Saya akan ingat pesanan itu,” balas Dorgu, bersama beberapa emoji hati.

BACA:  Robben Dedah Kisah Silam, Hampir Sertai Manchester United