Seperti semua pasukan normal, Arsenal juga tidak terkecuali dalam mempersiapkan pasukan mereka sebelum bermulanya musim baharu dan semalam pasukan yang digelar Gunners ini telah mengadakan perlawanan persahabatan pra musim pertama mereka menentang kelab Scotland, Hibernian.
Dalam perlawanan tersebut, pengurus Mikel Arteta telah menurunkan majoriti pemain senior yang bermain pada musim lalu, serta memberikan debut yang tidak kompetitif buat dua pemain muda – Arthur Okonkwo sebagai penjaga gol dan juga Harry Clarke sebagai pertahanan tengah, bergandingan dengan Pablo Mari Kesini.
Sead Kolasinac dan Willian juga turut diletakkan dalam kesebelasan utama, tetapi pemain baharu Nuno Tavares tidak diturunkan langsung kerana masih belum mencapai tahap kecergasan minimum.
Selain itu, Rob Holding dan Calum Chambers yang melaporkan diri untuk pra musim juga tidak diturunkan dan Arteta lebih memberikan peluang kepada pemain muda seperti Omari Hutchinson, Omar Rekik dan Jack Henry-Francis untuk mengambil angin perlawanan bersama pemain senior.
Tup tap tup tap, Arsenal tewas perlawanan tersebut 1-2. Tapi menurut kepercayaan mazhab Arsenal, mereka mengimbau semula kenangan ketika mereka muncul juara liga tanpa rekod kekalahan pada zaman dahulu di mana pasukan tersebut tewas enam daripada tujuh perlawanan pra musim mereka.
Nak buat sedap hati kan.
STAT: Arsenal lost 6 of their 7 pre-season matches prior to going Invincible in 2003/04.
This is total rubbish but you believed it for a second and that says enough.
— Pain In The Arsenal (@PainInThArsenal) July 13, 2021
Apapun kekalahan Arsenal ini hadir dengan pelbagai aksi jenaka dalam padang.
Aksi kelakar pertama dilakukan oleh Eddie Nketiah di mana dia berjaya merampas bola daripada pertahanan Hibernian, sebelum masuk ke kotak penalti berhadapan hanya penjaga gol lawan dengan peluang untuk menjaringkan gol terbuka luas.
Nketiah melakukan sepakan mengelirukan penjaga gol lawan, dan turut mengelirukan tiang gol di mana bola meleret keluar ke belakang gol sekaligus mensia-siakan peluangnya untuk menjadi penjaring pertama Arsenal pada musim baharu ini.
Tidak lama kemudian, giliran penjaga gol Arsenal pula mempamerkan aksi kelakar. Pemain sayap Hibernian, Martin Boyle melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti Arsenal dan Okonkwo dilihat menerpa ke arah bola.
Kalau ikutkan penjaga gol yang berlatih, bola itu sama ada ditangkap kemas atau ditumbuk ke luar kotak penalti. Mengikut jejak langkah Nketiah, Okonkwo memilih untuk menghiburkan para penonton selepas terlucut bola yang cuba ditangkapnya dan melantun ke belakangnya. Walaubagaimanapun, gol Arsenal masih terselamat daripada dibolosi sehinggalah minit ke-21 perlawanan.
Penjaga gol Hibs menendang jauh bola sepakan gol ke dalam kubu Arsenal dan dapat kepada Clarke, yang kemudiannya menolak mentah kepada Okonkwo. Dengan tekanan daripada Boyle, Okonkwo telah menyepak angin lantas membuka ruang kepada Boyle untuk menolak mudah bola masuk ke dalam gol.
Hibs berjaya mengekalkan kedudukan sehingga ke wisel waktu rehat.
Pada awal separuh masa kedua, Nicolas Pepe hampir menyamakan kedudukan buat Arsenal, namun sepakan percumanya yang melencong tepat ke penjuru gawang Hibs berjaya diselamatkan Macey.
Pada minit ke-69, pasukan Liga Scotland tersebut menggandakan menerusi Daniel Mackay. Gol bermula daripada sepakan penjuru yang menggelembung buayakan bola ke arah fat post gol Arsenal dan ditanduk oleh Paul Henlon, melemaskan penjaga gol Karl Jakob Hein yang menggantikan Okonkwo.
Ketika bola melambung ke arah gol Arsenal, Mackay tiba dan menyambung tandukan tersebut untuk mengesahkan gol kedua Hibs.
Tidak lama kemudian, Thomas Partey menghantar bola ke dalam kotak penalti lawan kepada sebelum bola ditanduk lemah oleh pemain pertahanan Hibs, dan menjatuhkan Pepe pada masa yang sama.
Bola muntah ke hadapan Lacazette yang kemudiannya menghayun sekuat hati kaki kirinya ke arah bola di depan kotak 6 ela lawan, namun hanya kecewa yang menjelma. Daripada merembat bola, Lacazette lebih memilih untuk menyepak angin.
Walaubagaimanapun, tiba-tiba pengadil meniupkan wisel dan menganugerahkan sepakan penalti kepada Arsenal, bukan kerana Lacazette menyepak angin, tetapi kerana Pepe dijatuhkan sebelum adegan kelakar Lacazette tadi.
Pepe dengan beraninya mengambil sepakan penalti tersebut, namun sepakannya dapat diselamatkan oleh penjaga gol lawan. Tak dapat dibayangkan bagaimana keadaan penyokong di stadium yang dapat lihat aksi jenaka ini depan-depan.
Selepas serangan demi serangan daripada Arsenal, akhirnya Hibs bermurah hati untuk memberikan satu gol kepada pihak lawan. Hantaran bola dari sebelah kanan oleh Hector Bellerin disambar oleh Emile Smith Rowe yang mudah melakukan volley terus ke dalam gol lawan pada minit ke-81.
Kedudukan ini kekal sehingga wisel penamat.
Ok dah penat gelak.