Pele Percaya Liverpool Bakal Muncul Juara Liga Perdana Inggeris Musim Ini

Legenda bola sepak dunia, Pele meramalkan Liverpool bakal bergelar juara Liga Perdana Inggeris musim ini dengan adanya Alisson dan Roberto Firmino dalam pasukan tersebut.

Pele mencipta reputasi sebagai seorang personaliti yang gemar membuat ramalan ‘kelaut’. Liverpool mungkin pasukan terbaru yang bakal terkena ‘sumpahan’ Pele berikutan ramalan Pele yang meletakkan Liverpool sebagai pasukan yang akan memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Pele yakin dengan kehadiran Alisson dan Firmino dalam skuad Liverpool, Liga Perdana Inggeris bakal menjadi milik Liverpool selepas 28 tahun

Alisson muncul penjaga gol termahal dunia buat seketika apabila Liverpool membayar £66.9 juta kepada AS Roma untuk membawa penjaga gol utama Brazil itu ke Anfield. Walau bagaimanapun, rekod itu tidak berkekalan lama kerana Chelsea membayar £71.5 juta untuk mendapatkan penjaga gol Atheltico Bilbao, Kepa Arrizabalaga bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Thibout Courtois yang berpindah ke Real Madrid.

Liverpool masih lagi belum berjaya mendakap trofi juara liga sejak pengenalan Liga Perdana Inggeris pada tahun 1992. Kali terakhir Liverpool muncul juara liga adalah pada musim 1989-1990, hampir 28 tahun yang lalu. Owner The Sukan, Bukhari Othman masih menuntut ilmu duniawi di Tadika Kemas pada ketika itu dan masih meminati Leeds United sebelum beralih ke Manchester United.

Keyakinan peminat Liverpool ‘This Year Is Our Year’ semakin membuak-buak musim ini apabila kelab mereka bernafsu besar dalam jendela perpindahan kali ini, membelanjakan hampir  £170 juta dengan membawa masuk pemain seperti Alisson, Fabinho, Nabil Ahmad, dan Xherdan Shaqiri.

Dengan kemasukan Alisson, Liverpool kembali mempunyai 2 pemain antarabangsa Brazil dalam skuad mereka, selepas Roberto Firmino ditinggalkan berseorangan berikutan pemergian Philippe Coutinho ke Barcelona pada Januari lalu.

Untuk rekod, Liverpool merupakan kelab yang paling banyak membelanjakan wang pada jendela perpindahan kali ini, manakala penghuni tangga ke-3 Liga Perdana Inggeris musim lepas, Tottenham Hotspurs langsung tidak membelanjakan sebarang duit. Spurs juga muncul kelab pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris tidak membawa masuk sebarang pemain dalam jendela perpindahan musim panas.

Jangan predict lagi ye Pele

Berbalik kepada cerita Pele, malang mungkin menimpa Liverpool musim ini jika kita lihat balik pada ramalan Pele pada masa lepas. Pele pernah meramalkan negara Afrika akan memenangi Piala Dunia sebelum tahun 2000. Kelaut.

Selain itu, Pele juga pernah meramalkan pemain antarabangsa Ghana pada tahun 90-an, Nii Lamptey bakal menjadi ‘The New Pele’ selepas melihat pemain tersebut mengganas dalam kejohanan Piala Dunia bawah 17 Tahun pada tahun 1991. Kelaut juga.

Dan ramalan Pele paling popular berlaku pada Piala Dunia 2002 dimana beliau meramalkan Argentina dan Perancis bakal bertemu dalam perlawanan akhir. Malangnya, kedua-dua pasukan tersingkir seawal peringkat kumpulan. Memang berhantu sumpahan Pele ni.

BACA:  Jurgen Klopp Berbangga Dengan Persembahan Skuad Depth Liverpool