LONDON – Arsenal tidak mampu memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini kerana mereka mempunyai terlalu ramai pemain yang lebih berminat dengan selfie dan six pack berbanding memenangi perlawanan bola sepak, menurut bekas ketua pasukan Manchester United, Roy Keane.
Keane, pemain tengah yang tangkas dan keras, menang tujuh gelaran Liga Perdana selaku pemain dan mempunyai hubungan tegang dengan Arsenal dan ketua pasukan mereka Patrick Viera.
Penolong pengurus Ireland itu, bagaimanapun, berkata dia tidak yakin pasukan terbaharu Gunners mampu memenangi gelaran liga pertama mereka sejak Viera menerajui skuad Invincibles pada 2004.
“Arsenal memiliki beberapa pemain yang sangat bagus, beberapa karakter yang mampu memimpin pasukan itu,” kata Keane, 43, kepada Mail semalam.
“Tetapi mereka juga memiliki satu atau dua pemain yang lebih berminat dengan selfie dan six-packs, mereka yang cuba memastikan gambar mereka dirakam setiap hari.
“Setiap tahun kita mendengar perkara yang sama mengenai Arsenal merupakan pasukan pencabar. Di sebalik fokus kepada Liga Perdana, mereka (pemain) lebih kisah mengenai bagaimana rupa badan mereka, bagaimana rambut mereka, lebih daripada memenangi perlawanan bola sepak,” katanya lagi.
Arsenal, di bawah pengurus Arsene Wenger, telah menjadi antara pasukan yang memiliki serangan terbaik di Eropah tetapi faktor kekurangan kepemimpinan telah mengurangkan kemampuan mereka untuk merebut gelaran sejak beberapa lama.
Kejayaan memenangi Piala FA berturut-turut menamatkan kemarau sembilan tahun mereka untuk mendapat trofi tetapi sudah lama kelab dari utara London itu gagal bersaing kuat dalam perebutan gelaran liga.
Musim lepas, di bawah Jose Mourinho, Chelsea yang dibina bertunjangkan kepada pemain-pemain yang bekerja keras dan kuat telah mengetepikan seteru terdekat mereka itu untuk memenangi liga dan Keane berkata kelab di Stamford Bridge itu kekal sebagai pasukan yang kuat untuk musim baharu nanti.
“Bagi saya, Chelsea kekal sebagai pasukan yang perlu dikalahkan. Pasukan mereka antara yang memiliki tulang belakang terkuat iaitu John Terry, penjaga gol (Thibault Courtois), Eden Hazard dan jika mereka dapat menambah John Stones (pertahanan Everton dan England) kepada pasukan mereka maka mereka akan lebih sukar dikalahkan.
“Perkara asasnya ialah jika pemain-pemain Chelsea menunjukkan keinginan dan tekad yang sama seperti tahun lalu jadi mereka akan memenangi liga. Mereka hanya akan berada dalam masalah jika mereka mengambil sikap telah selesa,” kata Keane. – REUTERS