Pemain Ini Dilayangkan Kad Merah Paling Mengarut Dalam Sejarah Dunia Bola Sepak

Pengadil perlawanan dalam saingan liga bola sepak Norway telah melayangkan kad merah kepada salah seorang pemain, atas kesalahan bergaduh dengan rakan sepasukannya sendiri.

Dengan pasukan mereka sedang mendahului, penjaga gol dan pemain pertahanan bergaduh sesama sendiri di minit-minit akhir permainan, hingga menyebabkan salah seorang dari mereka dihukum buang padang.

Viking FK sedang menunggu wisel penamat dibunyikan, untuk mengesahkan kemenangan 3-2 mereka menewaskan Kristiansund.

Mereka pada ketika itu dua kali ketinggalan dan berjaya untuk melakukan aksi comeback untuk memenangi perlawanan tersebut.

Veton Berisha menyamakan kedudukan pada minit ke-88 permainan selepas menyempurnakan sepakan penalti yang mereka menangi.

Sondre Bjorshol kemudiannya berjaya meledak gol kemenangan untuk Viking FK pada masa kecederaan permainan, untuk mengesahkan kejayaan mereka menundukkan Kristiansund 3-2.

Walau bagaimanapun, dengan tiba-tiba, David Brekalo dan Patrik Gunnarsson telah bertekak antara satu sama lain dan hampir saja untuk bertumbuk.

Apa yang lebih teruk lagi, insiden tersebut berlaku di minit-minit akhir permainan, dan mereka sepatutnya menunggu sahaja beberapa detik lagi untuk wisel penamat dibunyikan.

Brekalo bengang kerana beliau telah dimaki hamun oleh Gunnarsson dengan beliau kemudiannya dua kali menolak penjaga golnya itu tanda meluahkan kemarahannya.

Apa yang lebih mengejutkan lagi, Gunnarsson selepas ditolak, beliau merebahkan diri dengan penuh dramatik, dan turut memegang mukanya seolah-olah beliau baru ditumbuk.

Mungkin beliau fikir yang menolaknya itu merupakan pemain pasukan lawan, maka kerana itulah beliau menunjukkan reaksi berlebihan seperti itu, dengan harapan pengadil akan melayangkan kad merah kepada pemain lawan.

Pengadil perlawanan kemudiannya terus melayangkan kad merah kepada Brekalo atas kesalahan mengasari rakan sepasukannya itu.

Sangat malang untuk Brekalo, beliau dilayangkan kad merah pada ketika perlawanan hanya menunggu masa sahaja untuk ditamatkan.

Lebih malang lagi, beliau dilayangkan kad merah kerana pengadil terpedaya dengan helah dari rakan sepasukannya sendiri yang berlakon seolah ditumbuk.

Perlawanan tamat dengan Viking berjaya mencatatkan kemenangan 3-2 dan mengukuhkan kedudukan mereka sebagai penunggu tempat ketiga dalam saingan liga bola sepak Norway.

Apa yang berlaku antara kedua-dua pemain itu dalam bilik persalinan masih belum diketahui, namun satu hal yang pasti, kedua-dua mereka sudah tentu akan dihukum denda.

Pergaduhan mengarut itu mengingatkan peminat kepada insiden yang pernah berlaku pada tahun 2005 lalu dalam saingan Premier League, dengan Lee Bowyer dan Kieron Dyer bertumbuk pada tahun 2005 yang lalu.

Newcastle United pada ketika itu tewas 0-3 dengan kedua-dua pemain dilayangkan kad merah dan ia dianggap antara insiden paling gila dalam sejarah saingan Premier League.

Steven Taylor juga turut dilayangkan kad merah dalam perlawanan sama kerana handball dan Newcastle terpaksa menamatkan perlawanan dengan lapan pemain sahaja.

Graeme Souness benar-benar bengang dengan situasi tersebut dengan beliau meletakkan sepenuh kesalahan di atas bahu Bowyer.

“Saya sudah diyakinkan oleh Kieron yang dia tak lepaskan pukulan dan dialah yang kena penumbuk.”

Jelas Souness selepas tamat perlawanan.

“Itulah punca kami kalah dan tak boleh melawan.”

“Tindakan Lee sangat tak masuk akal. Dia bersalah, lihat gambar pun dia bersalah, dia melepaskan penumbuk, dan dia perlu terima apa sahaja hukuman yang akan dikenakan ke atasnya. Kami jelas Kieron tak bersalah.”

Kad merah yang dilayangkan kepada Brekalo itu sememangnya sangat merugikan dek kerana mereka sedang mendahului permainan, dan perlawanan juga sudah hampir tamat.

Ia akan kekal menjadi antara kad merah paling sia-sia yang diterima oleh seseorang pemain dalam sejarah dunia bola sepak.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kelayakan Piala Dunia 2022: Norway 0-3 Turki