Haaland Dan Norway Bakal Diharamkan Dari Menyertai Piala Dunia Oleh FIFA

Erling Haaland bersama skuad kebangsaannya, Norway mungkin akan diharamkan dari sertai Piala Dunia 2026 sekiranya mereka tetap memutuskan untuk memboikot kempen Piala Dunia Qatar.

Qatar merupakan tuan rumah untuk kempen Piala Dunia edisi 2022 nanti, namun Norway ketika ini sedang hangat memboikot kejohanan tersebut.

Pada Mac lalu, sebelum aksi kelayakan Piala Dunia bertemu Gibraltar, negara semenanjung Scandinavia itu telah melancarkan kempen untuk membantah isu-isu hak asasi manusia di Qatar, negara yang bakal menjadi tuan rumah untuk Piala Dunia 2022.

Norway melancarkan kempen tersebut kerana merasakan Qatar tidak menjaga hak asasi kemanusiaan selepas terkorbannya begitu ramai pekerja asing di negara tersebut.

Menurut sumber laporan dari The Guardian, 6,500 pekerja asing telah terkorban di Qatar, dan kebanyakannya pekerja yang berasal dari India, Pakistan, Sri Lanka, Nepal dan Bangladesh.

Menurut laporan sama juga, angka 6,500 kematian itu dicatatkan dari tahun 2010 sehingga kini dengan 37 kematian dilaporkan berlaku ketika sedang membina stadium untuk Piala Dunia 2022.

Pada awalnya hal ini hanya disuarakan oleh salah sebuah kelab kecil dari Norway, Arctic North yang merasakan pertandingan itu patut diboikot kerana mereka tidak menjaga hak asasi manusia.

Arctic North kemudiannya menggesa Norway untuk memboikot pertandingan tersebut, dan semakin hari semakin banyak kelab yang turut sama meminta hal yang sama.

Baru-baru ini, pemain Norway telah memakai baju yang bertulis ‘HUMAN RIGHTS’ ketika di dalam dan luar padang sambil berbaris, dalam usaha mereka untuk menyokong hak asasi manusia.

Persatuan bola sepak Norway (NFF) sendiri telah bercadang untuk memboikot pertandingan tersebut, dengan NRK menyatakan bahawa Norway akan memberi kata putus selepas selesai rundingan bersama pada hujung minggu nanti.

Norway telah beraksi dalam tiga sesi kelayakan Piala Dunia sebelum ini, namun jika mereka memutuskan untuk menarik diri kerana mahu boikot pertandingan tersebut, mereka bakal dikenakan tindakan undang-undang dari FIFA.

Seandainya Norway menarik diri dari Piala Dunia nanti, mereka bakal berdepan hukuman denda bernilai €40,000 dan ditambah dengan lain-lain penalti.

“FIFA sudah maklum yang mereka mahu halang isu memboikot ini dengan menyingkirkan pasukan keluar dari pertandingan ini, yang mana ia bermaksud Norway tidak akan terlibat dalam perlawanan kelayakan selepas ini.”

Kenyataan dari NFF sebagai jawapan balas kepada FIFA.

Namun terdapat laporan terbaru yang menyatakan Norway bakal berdepan hukuman yang lebih berat jika mereka tetap dengan pendirian untuk memboikot pertandingan tersebut.

FIFA dilaporkan sudah menulis surat kepada NFF untuk menjelaskan sekiranya mereka terus mahu memboikot pertandingan ini, mereka bakal diharamkan dari sertai Piala Dunia 2026 yang akan dilangsungkan di USA, Canada dan Mexico.

Apa yang lebih teruk lagi, terdapat juga kemungkinan yang dana untuk persatuan bola sepak Norway turut akan ditarik balik seandainya mereka meneruskan kempen boikot tersebut.

Jadi Norway mungkin akan terpaksa menarik balik kempen boikot tersebut memandangkan ia akan beri kesan yang teruk kepada masa depan bola sepak negara.

Kebanyakan pemain yang memboikot pertandingan ini merasakan yang mereka tak sanggup untuk bermain di atas lapangan yang telah memakan begitu banyak nyawa ketika pembinaanya.

Keputusan Norway sama ada mahu terus boikot atau tidak akan diketahui pada hujung minggu nanti, namun apa pun keputusannya, sikap yang ditunjukkan oleh mereka ini wajar dipuji dan dihormati.

Mereka setidak-tidaknya menunjukkan sikap kemanusiaan kerana memikirkan tentang hak asasi manusia yang tak ramai ambil peduli.

BACA:  Haaland Menerima Pendapatan Yang Sungguh Luar Biasa Lumayan Bersama Man City