Pemain Manchester United Menangis Sebaik Tamat Aksi Kekalahan Bertemu Watford

Beberapa orang pemain Manchester United dilaporkan menangis selepas kekalahan memalukan mereka bertemu Watford di Vicarage Road awal pagi tadi.

Setan merah sekali lagi berdepan dengan kekalahan yang sungguh mengaibkan selepas mereka dibedil 4-1 oleh pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran, Watford.

Selain tewas dalam keadaan yang sangat mengaibkan, United juga turut mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mendukacitakan.

Joshua King, Ismaila Sarr, Joao Pedro dan Emmanuel Dennis berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol yang bergilir-gilir merobek gawang gol setan merah dalam perlawanan ini.

Ia merupakan kekalahan yang paling tidak boleh diterima, dengan para penyokong United yang memang sudah sedia maklum mereka selalu jadi ‘lauk’ turut terkejut dengan kekalahan ini.

Para pemain sendiri turut berasa kecewa dengan ada antara mereka yang turut menitiskan air mata sebaik tamat perlawanan tersebut.

Tidak pasti sama ada mereka menangis kerana kecewa dengan kekalahan tersebut, atau kerana merisaukan nasib pengurus kesayangan ramai, Ole Gunnar Solskjaer.

Bruno Fernandes sendiri telah menunjukkan sikap terpuji dengan beliau pemain paling ke depan yang berdepan dengan peminat ketika pengurus kelab teruk dihina.

Bekas pengurus Molde dan Cardiff City itu selepas tamat perlawanan telah menyatakan yang beliau masih mampu untuk mengubah keadaan pada ketika ini.

Walau bagaimanapun, Ole Gunnar Solskjaer mungkin sudah tidak berpeluang untuk mengubah apa-apa kerana jangka hayat beliau di Old Trafford akan bertahan selama 48 sahaja lagi.

Pimpinan kelab telah mengadakan mesyuarat tergempar selepas tamat perlawanan tersebut, dan selepas lima jam bermesyuarat tanpa ada karipap atau tea o panas, mereka memutuskan untuk memecat Ole Gunnar Solskjaer.

Bahkan, menurut sumber laporan dari Manchester Evening News, ramai pemain yang percaya kekalahan setan merah di tangan Watford bakal menjadi aksi terakhir mereka di bawah kendalian pengurus dari Norway itu.

Para pemain dan staff sudah menjangkakan hal tersebut dengan mereka tahu Ole Gunnar Solskjaer akan dipecat selepas tamat perlawanan bertemu Watford pada awal pagi tadi.

Seperti yang dimaklumkan di atas, Ole Gunnar Solskjaer sebenarnya masih mempunyai keyakinan diri untuk mengubah United, walaupun mereka baru saja berdepan kekalahan ketujuh kelab dari 13 perlawanan terakhir setakat ini.

“Saya selalu kata yang saya percaya pada diri saya sendiri.”

Jelas Solskjaer.

“Sudah tentu, pada ketika ini, ia sangat sukar untuk kami. Saya boleh lihat saya masih boleh percayakan setiap seorang pemain di sana telah memberikan segalanya yang mereka ada.”

“Staff sungguh menakjubkan. Tapi keputusan agak sukar. Saya percaya kami boleh ubah semua ini.”

“Saya perlu memastikan para pemain beraksi dengan lebih baik, itu tanggungjawab saya, itu perkara paling penting sekarang. Mereka semua sangat kecewa, mereka bekerja keras, mereka cuba dapatkan keyakinan mereka semula sekarang.”

Bruno Fernandes meminta penyokong jangan kecam Ole Gunnar Solskjaer

Selepas kekalahan paling memalukan bertemu Watford awal pagi tadi, pengurus dari Norway itu dilihat pergi ke arah para penyokong setan merah untuk memohon maaf.

Beliau juga dilihat memberi lambaian kepada para penyokong seolah-olah sudah tahu yang ia bakal menjadi lambaian terakhirnya.

Semakin Solskjaer menghampiri para penonton, semakin kuat makian dan hinaan yang dilemparkan kepadanya hingga menyebabkan Bruno Fernandes tampil mempertahankan pengurus kesayangan ramai itu.

Pemain kebangsaan Portugal itu dilihat cuba menghalang para pemain dari ‘boo’ Ole Gunnar Solskjaer, dengan meminta mereka meluahkan kemarahan masing-masing kepada para pemain.

Beliau turut sedar yang para pemain United juga sebenarnya bersalah dan patut bertanggungjawab, dengan aksi yang dipamerkan oleh skuad setan merah benar-benar mengecewakan.

Ole sendiri sudah mati rasa dan tak tahu mahu menunjukkan reaksi apa selepas kekalahan itu, dengan beliau dilihat sangat tenang berdepan para penyokong.

Beliau bahkan rela dimaki dan menunjukkan sikap bertanggungjawab terima kekalahan itu berpunca dari pimpinannya yang serba tidak menjadi.

Namun Fernandes tidak membenarkan hal itu berlaku dan meminta para penyokong agar tidak terus meletakkan sepenuh kesalahan di atas bahu pengurus.

Bukan hanya penyokong di stadium, penyokong yang menonton di rumah juga turut sama meluahkan rasa kecewa mereka terhadap Ole Gunnar Solskjaer, dengan memaki hamun pengurus dari Norway itu di laman media sosial.

Bruno Fernandes ada alasan beliau sendiri tentang mengapa beliau meminta para penyokong agar tidak hanya memaki Ole Gunnar Solskjaer sahaja.

Aksi para pemain sememangnya sangat teruk dalam perlawanan tersebut, dengan para pemain kerap melakukan kesilapan dungu yang tidak boleh dimaafkan.

Masa depan Ole seperti semua sedia maklum sememangnya gelap dengan beliau kini hanya menanti masa sahaja untuk dipecat.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Man Utd Masih Dominasi Top 6 Perpindahan Termahal Di Dalam Sejarah EPL