Pemain Setan Merah Didakwa Tamak Dan Pulaukan Hojlund

Pemain-pemain Manchester United didakwa sengaja memulaukan Rasmus Hojlund ketika menentang Sheffield United pada hujung minggu lalu.

Penyerang berusia 20 tahun itu masuh gagal menjaringkan gol pertama Premier League untuk United sejak melengkapkan perpindahan bernilai £72 juta dari Atalanta pada musim panas lalu.

Hojlund kemudiannya digantikan selepas sejam perlawanan di Bramall Lane berlangsung, di kala kedudukan sedang terikat 1-1 selepas Oli McBurnie memadam gol pembukaan Scott McTominay melalui sepakan penalti.

Rembatan deras Diogo Dalot daripada luar kotak penalti kemudiannya memastikan tiga mata penuh milik skuad kendalian Erik ten Hag.

Walaupun demikian legenda Chelsea dan Belanda, Ruud Gullit berpendapat rakan sepasukan Hojlund tidak melakukan perkara yang secukupnya untuk membantu pemain muda itu.

Bercakap kepada Premier League Production Gullit berkata: “Saya masih berpendapat anda harus memastikan penyerang anda berada di dalam senarai penjaring kerana apabila dia berbuat demikian, dia akan bertambah yakin. Kemudiannya pemain lain akan lebih kerap menghantar bola kepadanya.

“Walaubagaimanapun rakan sepasukan [Hojlund] pada ketika ini tidak menghantar bola ke arahnya walaupun pada ketika dia mempunyai ruang.

“Sebaliknya anda melihat bagaimana [ramai] pemain lain sibuk untuk menjaringkan gol untuk mereka sendiri. Mereka turut masuk ke bahagian dalam [kotak penalti] dan mahu melakukan penyudah setiap masa.

“Saya biasa bergandingan dengan [Marco] Van Basten, dan selalu berfikir jika saya menghantar bola kepadanya maka jaringan akan terhasil. Jika saya mencuba sendiri memang ia juga mungkin menghasilkan jaringan. Tetapi saya akan menghantar bola kepadanya kerana ia pasti akan menghasilkan jaringan.

“Anda tahu sahajalah sikap seorang penyerang, mereka pentingkan diri sendiri. Ini kerana mereka perlu menghasilkan jaringan. Jika mereka adalah pemain yang gembira maka ia membawa banyak perbezaan kepada seluruh pasukan.”

Walaupun belum berjaya membuka akaun jaringan di Premier League, Hojlund dilihat lebih prolifik di pertandingan Champions League.

Pemain itu menjaringkan gil pertamanya ketika menentang Bayern Munich, sebelum menjaringkan dua gol lagi dalam perlawanan menentang Galatasaray. Man United bagaimanapun tewas kedua-dua perlawanan.

Ten Hag pula memberikan sebab beliau mengeluarkan Hojlund pada hujung minggu lalu untuk memastikan pemain itu sentiasa tajam dan cergas untuk perlawanan seterusnya.

“Dia sentiasa mahu berksi penuh. Ideanya ialah untuk menguruskan minit perlawanan Hojlund,” kata Ten Hag selepas perlawanan.

“Ia juga mengenai pertandingans ecara dalaman. Kami perlu memastikan dia sentiasa tajam.

“Kami harus melakukan perubahan ketika perlawanan, di antara perlawanan, atau kami akan gagal memastikan dia sentiasa bertenaga, fokus dan terus bersedia untuk perlawanan berikutnya.”

BACA:  Dua Aksi Dungu De Gea Hadiahkan Chelsea Gol Gratis