Peminat Real Betis Beri ‘Standing Ovation’ Kepada Lionel Messi Selepas Mencetak Hatrik

Lionel Messi sekali lagi mempamerkan persembahan menakjubkan apabila mencipta hatrik untuk membantu Barcelona membelasah Real Betis di gelanggang lawan dalam aksi La Liga malam tadi.

Messi melengkapkan hatrik beliau dengan melakukan bola lambung terhadap penjaga gol Real Betis, Pau Lopez yang mana jaringan tersebut menyebabkan banyak pihak di dalam stadium tersebut duduk terpaku kerana terpegun dengan kehebatan Messi.

Messi berterima kasih kepada peminat Real Betis

Ia merupakan hatrik ke-33 Messi dalam La Liga tetapi rekod paling tinggi masih lagi dipegang bekas pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo yang kini beraksi untuk Juventus.

Kehebatan Messi menyebabkan peminat Real Betis yang memehui stadium bangun berdiri untuk memberikan ‘Standing Ovation’ kepada pemenang Ballon d’Or sebanyak 5 kali itu.

Selepas membantu Barcelona menewaskan Real Betis 4-1, Messi mengucapkan terima kasih kepada peminat tuan rumah kerana memberikan penghargaan walaupun bermain untuk pihak lawan.

Messi membuka jaringan dengan free-kick yang amat padu !

“Sebenarnya, saya tidak pernah melihat reaksi penonton seperti dalam perlawanan tadi.” Ujar Messi ketika ditemu ramah Movistar.

“Saya bersyukur dengan reaksi yang diberikan penonton. Setiap kali kami bertandang ke stadium ini, peminat tuan rumah sering melayan kami dengan baik. Saya juga sangat gembira dengan kemenangan yang mana cukup penting buat kami.”

“Memang gol tadi agak hebat, tetapi perkara paling penting adalah mengutip 3 mata. Ia merupakan peluang terbaik untuk kami menjarakkan mata. Kami tahu mengenai keputusan yang dicatatkan Atletico Madrid, jadi kami tidak boleh gagal.”

Barcelona hanya mempunyai 43.9% penguasaan bola dalam perlawanan malam tadi, jumlah paling rendah yang pernah dicatat sejak Opta mula merekod statistik perlawanan dari musim 2004/2005.

“Kami bermain menentang pasukan yang pandai menggunakan bola. Dari segi taktik, segalanya berlangsung dengan sempurna. Kami tidak merana, perkara sebaliknya yang berlaku.”

“Kami perlu menyesuaikan diri. Terdapat beberapa ketika dalam perlawanan dimana kami perlu bersedia untuk menghadapi segala-galanya.”

Dengan kemenangan ke atas Real Betis, Barcelona kini memiliki kelebihan 10 mata ke atas pencabar terdekat, Atletico Madrid dan berada dalam landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan La Liga yang dimenangi mereka musim lalu.

Dengan saingan La Liga hanya berbaki 10 perlawanan sahaja lagi, agak sukar untuk melihat mana-mana pasukan menghalang Barcelona dari bergelar juara pada penghujung musim nanti.

https://twitter.com/LaTdT/status/1107394693736923136

Walaupun memiliki kelebihan yang besar di persada La Liga, Messi enggan berasa selesa dan menggesa rakan sepasukannya supaya terus fokus dalam mencapai sasaran.

“Segalanya bergantung kepada kami. Tiada apa yang dimuktamadkan sekarang.”

“Kami mempunyai kelebihan yang baik, tetapi masih banyak mata yang perlu kami perolehi. Kami perlu bermain seperti biasa tanpa memberikan apa-apa kepada pihak lawan.”

BACA:  Copa Del Rey Semi-Final: Barcelona 3 - 0 Sevilla (Agg. 3-2)