Pendedahan Terbaru Dakwa Man City Perolehi Dana Daripada Broker Tidak Dikenali

Menurut pendedahan The Times, seorang lelaki misteri telah menyerahkan dana sebanyak £30 juta untuk mengaburi tajaan kepada kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pendedahan tersebut diperolehi daripada laporan siasatan UEFA terhadap Man City pada 2020, namun tidak pernah diterbitkan untuk edaran umum.

Perbuatan yang dianggap menjadi salah laku kewangan oleh kelab itu didakwa berlaku sebanyak dua kali pada 2012 dan 2013.

City sepatutnya menerima bayaran tajaan daripada salah satu penaja utama iaitu syarikat telekomunikasi UAE, Etisalat.

Namun demikian bayaran tersebut diterima sebanyak dua kali – £15 juta untuk setiap transaksi – daripada sumber yang tidak diketahui.

Siasatan lanjut mendapati wang tersebut sebenarnya datang daripada Abu Dhabi United Group (ADUG).

ADUG sebenarnya adalah organisasi milik pemilik Man City, dan naib presiden firma tersebut adalah Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan.

Kesalahan ini turut pernah disebut dan berada di dalam senarai 115 dakwaan oleh Premier League terhadap Man City sebelum ini.

Siasatan peguam Premier League kemudiannya mendedahkan bayaran tajaan tersebut dilakukan oleh seorang individu bernama Jaber Mohammed – turut disahkan oleh laporan The Times.

Perkara ini menjadi isu apabila ADUG atau Etisalat menggunakan khidmat orang tengah atau broker untuk melakukan transasksi pembayaran tajaan – seolah-olah cuba menyembunyikan hakikat wang tersebut sebenarnya adalah daripada pemilik kelab secara langsung.

Walaupun City kemudiannya mendakwa Etisalay telah membayar kembali wang (tajaan sebenar) tersebut pada 2015, kenyataan tersebut tidak diterima oleh UEFA.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu dihukum gantung selama dua tahun daripada pertandingan Eropah akibat tajaan bernilai £30 juta itu.

Keputusan tersebut bagaimanapun dibatalkan oleh Mahkamah Timbangtara Antarabangsa (CAS) kerana kes tersebut dianggap sudah melangkaui tarikh luput untuk dibicara dan dijatuhkan hukuman – berdasarkan peraturan UEFA sendiri yang mempunyai had masa.

Berbanding dengan UEFA, dakwaan dan siasatan oleh Premier League tidak mempunyai tempoh had masa.

Ini bermakna peraturan oleh CAS ini tidak terpakai kepada Liga Perdana Inggeris. Di bawah peraturan Premier League, kelab tidak boleh merayu di CAS ataupun FA

Pada Februari lalu Manchester City telah menafikan kesemua pertuduhan ke atas mereka oleh Premier League yang mengenakan pertuduhan lebih 100 salah laku kewangan oleh kelab itu.

Manchester City dituduh melakukan kesalahan melibatkan salah urus kewangan itu bermula 2009 sehingga 2018.

Kesalahan tersebut termasuk laporan kewangan, keuntungan dan kemampanan. Seterusnya berkaitan dengan gaji pemain dan pengurus serta kegagalan dalam memberikan kerjasama ketika siasatan.

Bukan itu sahaja, Man City turut didakwa gagal menepati piawaian perlesenan kelab UEFA serta melanggar peraturan FFP dalam beberapa siri kesalahan yang disenaraikan.

Jika didapati bersalah, Man City akan berdepan hukuman berat. Ini termasuk denda yang sangat tinggi. Kemudian berisiko dipotong mata seperti mana yang berlaku kepada Juventus di Serie A.

Paling teruk adalah disingkirkan terus daripada Liga Perdana Inggeris pada musim akan datang.

BACA:  Guardiola Intai Peluang Pancing Mitoma Sebagai Pengganti Mahrez