Penjaga Gol Ini Menjaringkan Gol Sendiri Paling Buruk Dalam Sejarah Peradaban Bola Sepak Dunia

Pepatang Melayu ada mengatakan; air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Jika dibawa ke arena bola sepak, pepatah ini boleh digantikan kepada bola yang perlahan, jangan sangka tiada gol terhasil.

Dalam satu perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 zon Amerika Utara, CONCACAF, satu kejadian telah berlaku di mana seorang penjaga gol muda Haiti secara tidak sengaja telah menjadikan dirinya sensasi internet apabila menjaringkan gol sendiri.

Lebih perit lagi, perlawanan ini adalah perlawanan yang sangat penting buat negaranya untuk melayakkan diri ke pusingan kelayakan terakhir untuk merebut tempat ke Piala Dunia 2022 di Qatar nanti.

Haiti sebelum ini menamatkan saingan awal peringkat kumpulan dengan cemerlang, apabila muncul juara mengatasi pasukan negara lain – Nicaragua, Belize dan Turks and Caicos Islands, sekaligus layak ke pusingan kedua.

Selepas undian dilakukan, Haiti dijadualkan bertemu Kanada dalam perlawanan play-off secara timbal balik. Pemenang pusingan ini akan layak ke peringkat kumpulan peringkat akhir kelayakan.

Dalam perlawanan pertama, Kanada menang tipis 1-0 pada hari Sabtu lalu, dan semalam mereka bertemu semula untuk perlawanan kedua.

Kalau ikutkan, peluang untuk Haiti menyertai pasukan seperti Amerika Syarikat dan Mexico masih lagi terbuka kerana mereka hanya kalah tipis dalam perlawanan pertama.

Dalam perlawanan timbal balik tersebut, separuh masa pertama berlangsung dengan seimbang dan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Akan tetapi, beberapa minit selepas wisel separuh masa kedua bermula ditiup, berlaku satu peristiwa hitam yang tidak akan dilupakan oleh penjaga gol kebangsaan Haiti.

Pemain pertahanan tengah, Kevin Lafrance, tanpa sebarang tekanan dengan tenangnya menghantar bola leret kepada penjaga gol, Josue Duverger, dan ketika inilah perisitiwa memalukan ini berlaku.

Sebaik bola hampir tiba ke kakinya, Duverger, cuba untuk menendang bola keluar apabila seorang penyerang Kanada berlari meluru ke arahnya. Tapi sayang, tendangannya hanya mampu melibas angin dan bola bergolek semakin hampir ke garisan golnya.

Menyedari bola semakin hampir masuk ke gawang, Duverger mengejar bola dan sekali lagi menghayun deras kaki kanannya ke arah bola, namun sekali lagi dia sekadar menyepak angin!

Bila dah dua kali sepak angin, bola pun tanpa segan silu bergolek masuk perlahan, melintasi garisan gol.

Disebabkan gol ini agak memalukan, penyerang Kanada dilihat agak malu-malu untuk melakukan keraian dan dia sekadar mengangkat tangan tanda syukur pasukannya mendapat kelebihan untuk layak ke peringkat seterusnya.

Selepas menonton gol ini berkali-kali, dapatlah disimpulkan bahawa gol ini adalah gol sendiri yang paling teruk dalam sejarah peradaban bola sepak dunia moden!

Mana tidaknya, pemain lawan yang bagi tekanan pun agak jauh lagi daripada Duverger, lepas tu dia sepak angin bukan sekali tuan-tuan, dua kali!

Dua kali sepak angin ni amatlah biasa kalau seseorang itu baru belajar bermain bola sepak, tapi kalau bermain untuk pasukan antarabangsa, memang teruk.

Seperti biasa, apabila berlaku kejadian macam ni, dia terus jadi sensasi internet.

Lord Fakri pernah berkata,”bola kalau dia taknak masuk, memang takkan masuk.”

Dalam kes ni pula kita boleh simpulkan,”bola kalau dia nak masuk, memang akan masuk.”

Kelakar? Dah habis dah gelakkan orang?

Sebenarnya sepanjang perlawanan ini, Duverger yang baru berusia 21 tahun dan baru pertama kali bermain untuk pasukan kebangsaannya telah tampil cemerlang menyelamatkan gawang daripada dibolosi Kanada yang mendominasi sebahagian besar perlawanan.

Bila semak balik asal usul Duverger, penjaga gol Vitoria FC di Portugal ini sebenarnya dilahirkan di Montreal, Kanada, malah pada tahun 2016, dia telah dipanggil mewakili Kanada untuk pasukan bawah-17 tahun mereka.

Selepas gol mengejutkan tersebut, Kanada menambah lagi jaringan mereka menerusi Cyle Larin, sebelum pemain sayap Cardiff City memerah asam limau di luka Haiti menerusi gol ketiga di hujung perlawanan.

Kemenangan ini melayakkan Kanada ke pusingan berikutnya dan bakal berdepan dengan pasukan Amerika Syarikat, Mexico, Costa Rica, Jamaica, Honduras, Panama dan El Salvador.

Tiga pasukan teratas akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia, manakala pasukan di tangga keempat akan berdepan perlawanan timbal balik play-off menentang pasukan dari benua lain.

Cerita dipetik dari : KitabSukan

BACA:  Video : Pemain Terbaik Dunia Wanita Menjaringkan Gol Dari Garisan Tengah Padang, Persis Patrik Schick