Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata pasukannya masih belum cukup bersedia untuk benar-benar mencabar trofi Liga Juara-Juara Eropah selepas melihat persembahan anak buahnya ketika menentang Schalke 04.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Gelsenkirchen semalam, Manchester City terpaksa bangkit dari ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Schalke untuk mencerahkan peluang mereka untuk mara ke pusingan suku akhir.
Walau bagaimanapun, beberapa kesilapan yang dilakukan pemain City mengakibatkan mereka ketinggalan 2-1 pada suatu ketika. Dua gol Schalke hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain tengah, Nabil Bentaleb.
Penalti pertama Schalke adalah disebabkan bola terkena tangan Nicholas Otamendi dalam kotak penalti dan tidak lama selepas itu, tolakan Fernandinho ke atas Salif Sane turut menghadiahkan penalti untuk pasukan tuan rumah.
Otamendi mengharungi malam yang ingin beliau lupakan secepat mungkin apabila diperintahkan meninggalkan padang pada separuh masa kedua keranan layangan kad kuning ke-2.
Ketika ramai yang beranggapan City akan tumpas, muncul Leroy Sane untuk menghukum bekas pasukannya itu menerusi sepakan percuma padu. Pujian untuk Sane kerana enggan menyambut jaringannya sebagai tanda hormat kepada bekas pasukannya itu.
Disaat perlawanan seakan-akan bakal berakhir dengan keputusan seri, pemain antarabangsa England Raheem Sterling muncul wira untuk The Citizens apabila tenang menolak masuk bola ke dalam gawang Schalke untuk memberikan kemenangan kepada pasukannya.
Walaupun gembira dengan keputusan yang dicapai pasukannya, Guardiola menegaskan beliau masih lagi risau persembahan City sekiranya mereka mahu mara lebih jauh dalam pertandingan tersebut.
“Keputusan perlawanan tadi sangat menakjubkan, 3 gol di tempat lawan, tetapi kami juga memberikan mereka gol dan menerima satu layangan kad merah.”
“Jika permainan kami di tahap ini sahaja, kami tidak ada peluang [untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah]. Kami belum bersedia untuk mencabar kejuaraan Eropah.”
“Selepas kad merah tadi, sekiranya Schalke terus menekan dan berjaya menjaringkan gol ke-3 atau ke-4, sudah tentu kami akan terkeluar dari pertandingan ini.”
“Perlawanan ini masih lagi belum berakhir. Saya berharap penyokong kami akan membantu pasukan pada perlawanan timbal balik nanti dan saya juga berharap kami akan bermain lebih baik pada masa hadapan.” Katanya lagi.
“Kami bermain baik, tetapi kami melepaskan beberapa bola mudah yang mana sepatutnya tidak boleh dilakukan dalam pertandingan ini.”
Keputusan untuk menghadiahkan sepakan penalti pertama buat Schalke diambil selepas pengadil meneliti VAR lebih 3 minit. Walaupun VAR mengganggu tempo permainan, Guardiola mendakwa beliau masih lagi menyokong teknologi tersebut digunakan dalam sukan ini.
“Saya adalah peminat VAR. Penalti ke-2 mereka juga memang penalti. Tetapi ia juga sebenarnya offside.”
“VAR perlukan masa. Selepas ini, ia akan bertambah baik.”