Pep Pilih ‘Jadual Sibuk’ Berbanding Tersingkir Dari Piala FA Seperti Liverpool

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata beliau lebih rela melihat pasukannya mara sejauh mungkin dalam empat pertandingan yang mereka sertai musim ini.

Kekalahan Liverpool di tangan Wolves dalam saingan Piala FA kelmarin menjadikan anak buah Jurgen Klopp hanya perlu mengharungi 3 sahaja perlawanan untuk bulan Januari, yang mana kesemuanya adalah perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris.

Liverpool tersingkir seawal pusingan ke-3 kepada Wolves

Manchester City pula masih lagi terlibat dalam semua pertandingan yang mereka sertai musim ini dengan perlawanan separuh akhir Piala Carabao menentang Burton Albion bakal berlangsung awal pagi nanti.

The Citizens bakal mengharungi 3 perlawanan ‘piala’ bulan ini disamping 3 perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Dalam sidang media menjelang pertemuan menentang Burton Albion, Guardiola telah ditanya  adakah Liverpool bakal mendapat kelebihan terhadap Manchester City dalam perebutan kejuaraan liga memandangkan jadual mereka yang semakin ‘ringan’.

Guardiola tidak mahu City mengikut jejak langkah Liverpool bermain kurang perlawanan

“Saya tidak tahu [kurang perlawanan boleh memberi kelebihan kepada Liverpool]. Saya tidak mempunyai teori mengenai perkara tersebut dari pengalaman saya selama ini.”

“Jika semua pemain saya cergas dan tidak cedera, kami mampu mengharunginya. Masalah akan berlaku sekiranya anda mempunyai 10 orang pemain yang cedera, dan pada ketika itu ia adalah situasi yang mustahil.”

“Saya lebih suka jika Manchester City terlibat dalam semua pertandingan. Saya mahu membawa Manchester City sejauh yang mungkin dalam empat pertandingan yang kami sertai. Apabila Wigan mengalahkan kami dalam Piala FA musim lepas, saya sangat sedih. Saya memandang piala ini sangat serius.”

“Saya tidak terlibat dengan apa yang pihak lawan kami lakukan. Realitinya, Jurgen Klopp tahu apa yang sebenarnya berlaku.”

“Sudah tentu anda memerlukan skuad yang besar. Tanpa kualiti anda tidak akan mampu memenangi satu trofi pon. Dengan jumlah dan kualiti pemain yang kami miliki, kami mampu melakukannya kerana pasukan ini sentiasa stabil.”

Dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris di Etihad minggu lalu, Manchester City berjaya mengurangkan jurang mata menjadi 4 mata apabila menewaskan pendahulu liga, Liverpool di hadapan penyokong sendiri.

Pelbagai spekulasi berkeliaran di laman sosial selepas kekalahan pertama liga Liverpool dan antaranya adalah penjaga padang telah diarahkan untuk membiarkan rumput padang lebih tinggi dari biasa bagi mengganggu tempo permainan trio serangan Liverpool, iaitu Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Manchester City belasah Rotherham 7-0 untuk mara ke pusingan ke-4 Piala FA

Walau bagaimanapun, perkara tersebut telah dinafikan Guardiola sambil tersenyum seribu bahasa.

“Saya tidak pernah mengarahkan perkara tersebut. Jika Liverpool mahu bermain laju, kami akan bermain lebih laju. Jadi kami tidak pernah memanipulasi keadaan.”

“Saya percayakan penjaga padang kami. Beliau menyediakan padang dalam keadaan yang terbaik untuk kedua-dua buah pasukan.”

“Saya tidak pernah membuat panggilan kepada penjaga padang dan berkata, ‘Lakukan perkara ini untuk membahayakan pasukan lawan’.”

BACA:  10 Rekod Yang Bakal Dimusnahkan Liverpool Musim Ini