Arsenal yang sedang dilanda kecederaan berusaha keras untuk mencari gol menentang Leicester City. Ketika mereka buntu, tumpuan beralih ke bangku simpanan. Malangnya, Mikel Arteta hanya mempunyai seorang penyerang muda, Nathan Butler-Oyedeji yang baru sahaja membuat debut pada bulan lalu. Dia berada dibangku simpanan bersama 1 penjaga gol, 2 pemain tengah dan 5 pemain pertahanan.
Tanpa penyerang tengah yang sebenar, Arteta tidak mempunyai pilihan selain mencari penyelesaian kreatif. Dia boleh cuba menggantikan Kai Havertz dengan pemain yang mempunyai gaya permainan sama atau mempertaruhkan seseorang dari bangku simpanan untuk beraksi seperti legenda bola sepak.
Akhirnya, Arteta memilih pilihan kedua. Dia memasukkan Mikel Merino, seorang midfielder yang terkenal dengan kekuatan fizikal dan mengubahnya menjadi penyerang berbisa. Keputusan itu membuahkan hasil apabila Merino menjaringkan 2 gol pada lewat permainan sekali gus memastikan Arsenal mengutip 3 mata dan terus bersaing dalam perebutan kejuaraan.
Merino mendedikasikan jaringannya kepada isterinya sebagai ganti hadiah Hari Valentine yang dia lupa beli. Namun yang lebih penting, aksinya mungkin menjadi penyelesaian jangka pendek kepada masalah penyerang Arsenal.
Merino Ubah Corak Serangan Arsenal
Sebelum Merino dimasukkan, Arsenal bergelut untuk menembusi pertahanan Leicester. Leandro Trossard yang bermula sebagai false nine gagal memberi impak. Manakala Raheem Sterling di sayap kiri kelihatan kurang yakin dan tumpul. Leicester pula semakin yakin bertahan dan menutup ruang di kotak penalti.
Tanpa Havertz, Arsenal kehilangan ancaman serangan udara. Namun segalanya berubah selepas Merino masuk pada minit ke-69.
Gol pertamanya terhasil daripada larian bijak ke dalam kotak penalti, tetapi sebenarnya dia sudah 3 kali membuat pergerakan sama dalam situasi tersebut. Kehadirannya mengubah corak pertahanan Leicester yang sebelum ini selesa membiarkan Arsenal menyerang dari sayap kerana tiada ancaman di udara.
Merino sentiasa mencari posisi terbaik untuk menerima hantaran. Serangan bermula dari sebelah kiri Arsenal dan dia bergerak ke arah pertahanan terakhir Leicester sebaik sahaja bola dihantar kepada Jorginho untuk membuat hantaran silang. Usahanya memaksa pertahanan Leicester, Caleb Okoli melakukan tindakan panik dengan menanduk bola terus ke kaki Declan Rice yang di dalam kotak penalti.
Keadaan menjadi kelam-kabut dan Merino segera mengesan ruang kosong di sebelah kanan. Ketika Jurrien Timber bersedia untuk menghantar bola, Merino berundur sedikit daripada kawalan Wout Faes dan bersedia untuk membuat larian ke dalam kotak penalti. Apabila Timber mengubah keputusan dan menghantar bola ke Ethan Nwaneri, barisan pertahanan Leicester tertolak ke belakang lebih jauh daripada kebiasaan.
Walaupun hanya beberapa ela perbezaan, ia memberi kelebihan besar kepada Arsenal. Nwaneri menyedari kedudukan Merino yang semakin hampir ke pintu gol, lalu menghantar bola silang yang tepat. Merino bijak menarik perhatian pertahanan Leicester sebelum melonjak tinggi dan menanduk bola masuk.
Kehebatan Merino di Udara
Lompatan Merino bukan sesuatu yang mengejutkan untuk Arsenal. Arteta membawa masuk pemain ini dari Real Sociedad bukan sahaja kerana kehebatannya mengawal bola di darat tetapi juga dominasinya di udara. Dia pernah membuktikan kebolehan itu dalam aksi Piala Eropah 2024, di mana tandukannya menjadi penentu kemenangan Sepanyol ke atas Jerman.
Ketika menentang Leicester, dia sekali lagi menunjukkan keupayaan itu. Lompatan kuatnya mengatasi Faes, membolehkannya terapung seketika di udara sebelum menggunakan otot leher untuk menukar arah bola ke gawang. Walaupun Havertz lebih tinggi beberapa inci daripadanya, Merino nampaknya lebih semula jadi dalam menanduk bola.
Leicester sepatutnya lebih awal sudah sedar akan ancaman ini. Hanya seminit selepas dimasukkan, Merino mula bertindak sebagai false nine untuk membantu menghubungkan permainan. Namun, sebaik bola dihantar ke sayap dia segera berlari ke far post. Apabila Timber bersedia untuk menghantar hantaran silang, Merino secara bijak menyelinap ke belakang Faes dalam ruang blind spot pemain itu. Lariannya hampir sempurna tetapi dia gagal menyentuh bola.
Arsenal Dapat Bermain Secara Lebih Direct
Ketika Trossard bermain sebagai penyerang, Arsenal kehilangan kemampuan untuk bermain secara direct dari kawasan sendiri, sesuatu yang sering mereka lakukan apabila Havertz beraksi. Dengan saiz fizikalnya, Havertz boleh menahan bola dan memberikan masa untuk rakan sepasukan naik memberi sokongan.
Selepas Merino masuk, Arsenal mula menggunakan taktik ini. Satu lontaran jauh dimainkan terus ke arahnya dan Rice segera berlari ke hadapan, yakin bahawa Merino akan memenangi first ball. Benar, dia berjaya mengawal bola dan menghantarnya kepada Rice, mencetuskan serangan yang hampir menghasilkan gol tetapi percubaan Nwaneri terkena tiang.
Sebelum gol keduanya, Merino sekali lagi menunjukkan kebijaksanaan membaca ruang. Dia bergerak ke celah dua pertahanan Leicester, bersedia untuk menyambut hantaran tetapi Trossard memilih untuk menghantar bola ke Riccardo Calafiori. Ia adalah situasi di mana pemain seperti Kieran Tierney boleh memanfaatkan kelebihannya, melepaskan hantaran silang yang berkualiti.
Merino dan Tierney sebenarnya pernah bermain bersama di Real Sociedad musim lalu dan Tierney pasti tahu betapa bahayanya Merino dalam situasi seperti ini.
Merino Semakin Serasi dalam Serangan Arsenal
Ketika Arsenal melancarkan serangan balas sebelum gol kedua terhasil, Merino segera melihat sekeliling dan menyedari dia satu-satunya pemain yang berada di sebelah kanan padang.
Walaupun Trossard membawa bola ke depan, Merino tidak terburu-buru untuk berlari. Dia lebih sabar, membiarkan Trossard mencipta ruang sebelum bertindak. Berbeza dengan Sterling yang tampak kurang yakin di sayap kiri, Trossard mampu mencipta jarak daripada pemain lawan kerana kebolehannya menggunakan kedua-dua kaki. Ia menjadikannya sukar diramal, bukan hanya oleh pertahanan lawan tetapi juga oleh rakan sepasukan.
Namun, Merino dapat membaca gerakannya dengan baik. Dia melengkungkan lariannya ke bahagian luar untuk mendapatkan sudut terbaik untuk menyerang kotak penalti. Jika dia meluru terlalu awal, hantaran perlu dilakukan dengan ketepatan yang sempurna. Tetapi dengan pergerakannya yang cermat, dia memberi dirinya ruang untuk menyesuaikan larian dan menerima bola pada sudut terbaik.
Dengan persembahan cemerlang ini, Arsenal berharap Merino akan mengikuti jejak Havertz – yang mengambil masa untuk menyesuaikan diri sebelum menjadi tonggak utama dalam serangan. Selepas 6 bulan yang tidak begitu menonjol sejak menyertai kelab pada Ogos lalu, mungkin ini adalah permulaan kebangkitan Merino sebagai penyerang yang mereka perlukan.