Pertimbang Tinggalkan Arsenal, Arteta Dicanang Bakal Ganti Klopp Di Liverpool

Mikel Arteta menggemparkan penyokong Arsenal selepas timbul laporan pengendali dari Sepanyol itu kini sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan Arsenal pada musim panas ini.

Dan selepas Jurgen Klopp mengumumkan akan berundur sebagai pengendali Liverpool pada akhir musim ini, dan Xavi turut mengesahkan akan meninggalkan Barcelona, Arteta akan menjadi pengurus ketiga berprofil tinggi yang akan berbuat demikian,.

Menurut laporan Sport, Arteta telah memaklumkan perancangan masa depannya itu kepada keluarga dan kenalan rapat – mempertimbangkan untuk mengucap selamat tinggal kepada The Gunners sebaik saingan musim 2023-24 berakhir.

Apabila Xavi mengesahkan akan berundur dari Nou Camp pada Sabtu lalu, laporan sama turut berkata tidak ada pihak bertindak menghubungi Arteta sebagai pengganti.

Goal lantas membuat spekulasi Arteta kini turut mengintai peluang untuk menjadi pengganti Klopp di Anfield – sesuatu yang perit diterima penyokong setia The Gunners sekiranya menjadi kenyataan.

Presiden Barcelona Joan Laporta bagaimanapun dikatakan adalah peminat bekasp pemain tengah itu dan percaya bekas pemain Arsenal, Everton dan Barcelona itu mampu melakukan kerjanya dengan bagus di Nou Camp.

Arteta menyertai Arsenal sebagai pengurus pada Disember 2019 dan hampir menjuarai Premier League pada musim lalu sebelum terlepas peluang tersebut kepada Manchester City pada saat akhir.

Musim ini Arsenal tampil serba tidak menentu dan kini berada di kedudukan ketiga, lima mata daripada pendahulu Liverpool.

Kontrak Arteta bersama Arsenal sepatutnya tamat pada musim panas 2025. Ini bermakna Arteta perlu melakukan rundingan dengan pihak pengurusan kelab sekiranya merancang untuk meninggalkan Arsenal semusim lebih awal.

BACA:  Arteta Sangat Yakin Mount Akan Sertai Arsenal Sebelum 'Di-Hijack' Ten Hag