Seperti dijangka, Manchester City mendominasi Pasukan Tahunan PFA Liga Perdana Inggeris apabila 5 pemain mereka dinamakan dalam pasukan tersebut.
PFA atau nama sebenarnya ‘Profesional Footballers Association’ adalah badan yang memperjuangkan hak pemain bolasepak profesional yang bermain di England dan Wales.
Badan ini juga akan mengumumkan pasukan ‘impian’ setiap penghujung musim bagi memberi penghargaan kepada pemain yang telah mempamerkan persembahan yang cemerlang sepanjang musim. Pemilihan pemain adalah berdasarkan undian daripada pemain profesional yang bermain dalam liga yang sama.
Manchester City yang masih lagi segar dengan kejayaan mereka merangkul trofi Liga Perdana Inggeris musim ini terus menerima perkabaran gembira apabila 5 pemainnya dinamakan dalam skuad ‘impian’ Liga Perdana Inggeris bagi musim 2017/2018.
Pemain tersebut adalah Kevin De Bruyne, Sergio Aguero, David Silva, Kyle Walker dan Nicholas Otamendi.
The PFA Premier League Team of the Year!
? #PFAawards pic.twitter.com/p4owLbuBp5
— Professional Footballers' Association (@PFA) April 18, 2018
Selain Aguero, dua lagi penyerang yang dipilih untuk berada dalam pasukan tersebut adalah tidak lain dan tidak bukan Mohamed Salah dan Harry Kane.
Salah dan Kane bersaing sengit untuk merebut anugerah Kasut Emas musim ini dengan Salah memiliki kelebihan 4 gol ke atas Kane selepas mengumpul 30 gol setakat ini. Dengan perlawanan berbaki 4 sahaja lagi, Kane masih lagi mempunyai peluang untuk menghidupkan peluangnya muncul penjaring terbanyak untuk 3 musim berturut-turut.
Melengkapkan bahagian tengah bersama De Bruyne dan Silva adalah perancang tengah Tottenham Hotspurs, Christian Eriksen.
Walaupun sekadar menduduki tangga ke-4 Liga Perdana Inggeris ketika ini, seramai 3 pemain Spurs telah dipilih untuk berada dalam pasukan ini. Selain Eriksen dan Kane, pemain pertahanan Jan Vertoghen telah dipilih untuk membarisi bahagian pertahanan tengah bersama-sama Otamendi.
Di bahagian penjaga gol pula, David De Gea menepati ramalan apabila namanya dipilih untuk berada dalam skuad ‘impian’ ini. Walaupun menduduki tangga ke-2 liga ketika ini, Red Devils terpaksa berpuas hati dengan seorang sahaja calon. Ini merupakan kali ketiga berturut-turut De Gea dinamakan dalam skuad terbaik tahunan.
Pencalonan yang paling memeranjatkan banyak pihak adalah Marcos Alonso yang dipilih untuk mengisi posisi pertahanan kiri. Seperti diketahui, Chelsea melalui musim yang suram dan hampir pasti akan terlepas slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan dimana mereka sekadar menduduki tangga ke-5 dalam Liga Perdana Inggeris ketika ini.
Bek kiri Liverpool, Andrew Robertson dilihat pemain pertahanan kiri yang lebih menonjol musim ini selain Ashley Young yang masih mendapat kepercayaan Jose Mourinho dalam pasukan United.
Seperti dijangka tiada pemain Arsenal dicalonkan manakala Burnley tidak bernasib baik walaupun mengharungi musim yang cemerlang.
Majlis rasmi anugerah tahunan PFA bakal berlangsung pada Ahad ini di London dan pemain terbaik PFA bakal diumumkan dalam majlis tersebut.
3 calon utama untuk anugerah tersebut adalah Mohamed Salah, Kevin De Bruyne dan David De Gea. Dua lagi calon adalah David Silva dan Leroy Sane.
PFA Premier League Team of the Year:
1. David de Gea,
2. Kyle Walker,
3. Jan Vertonghen,
4. Nicolas Otamendi,
5. Marcos Alonso,
6. David Silva,
7. Kevin De Bruyne,
8. Christian Eriksen,
9. Mohamed Salah,
10. Harry Kane,
11. Sergio Aguero.