Pochettino Bangga Walaupun Tewas, Dakwa Pasukannya Lebih Baik Daripada Juventus

Pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino berkata beliau berasa bangga dengan persembahan anak buahnya ketika mereka tewas 2-1 di tangan Juventus awal pagi tadi, sekaligus tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah dengan aggregat 4-3.

Walaupun tewas secara aggregat kepada Juventus, Pochettino mendakwa pasukannya bermain lebih baik daripada penyandang juara Serie A tersebut sambil menambah Spurs berhak mara lebih jauh dalam kejohanan tertinggi Eropah itu.

Son memberikan harapan palsu kepada peminat Ayam Di Atas Bola

Dalam perlawanan pertama di Turin, Spurs melakukan kebangkitan untuk mengikat Juventus 2-2 walaupun pada satu ketika ketinggalan 2-0. Ramai beranggapan Spurs berpeluang cerah untuk melangkah ke peringkat suku akhir dengan perlawanan timbal balik bakal berlangsung di Wembely, rumah Spurs musim ini.

Langit tidak selalunya cerah buat pasukan dari Utara London ini. Walaupun berjaya mendahului perlawanan buat seketika pada separuh masa pertama melalui jaringan pemain antarabangsa Korea Selatan, Heung-min Son, Juventus berjaya menjaringkan 2 gol pada awal babak kedua melalui Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala.

Spurs yang tersentak dengan situasi tersebut cuba bangkit dengan melakukan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan Juventus tetapi barisan pertahanan yang diketuai oleh Giorgio Chiellini dan Gianluigi Buffon utuh menahan asakan. Peluang terbaik Spurs hadir pada lewat permainan melalui tandukan Harry Kane tetapi bola sekadar mengenai tiang.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas pasukannya tersingkir dari Liga Juara-Juara, Pochettino berkata beliau berasa kecewa kerana anak buahnya telah mempersiakan banyak peluang sepanjang perlawanan berlangsung.

Penjaring gol kemenangan. Dybala > Kane

“Saya berasa kecewa kerana kami mempersiakan banyak peluang dan kami berhak dapat lebih dari perlawanan tadi. Kami berasa kecewa dengan cara gol mereka dijaringkan, tetapi persembahan keseluruhan pasukan adalah fantastik.”

“Saya sangat bangga dengan persembahan pemain saya. Kami berjaya mendominasi pasukan hebat seperti Juventus dalam kedua-dua perlawanan. Kami bermain lebih baik daripada Juventus tetapi pada tahap seperti ini, 3 minit sahaja sudah cukup untuk memberikan kemenangan kepada mereka.”

“Saya berasa sedikit tidak adil kerana kami melepaskan dua gol kepada Juventus ketika kami sedang menguasai perlawanan dan bermain dengan cukup baik. Tetapi inilah bolasepak dan kami perlu memandang ke hadapan dan bersedia untuk menghadapi perlawanan kami seterusnya.”

Penyerang yang gemok dan penjaga gol yang tua bukan masalah untuk Juventus menyingkirkan Spurs

Spurs hampir sahaja melangkah ke saingan suku akhir Liga Juara-Juara musim ini jika tidak kerana dua gol dalam masa 3 minit yang dijaringkan Juventus. Kali terakhir  mereka mara sejauh itu adah pada musim 2010/2011 sebelum kemaraan mereka disekat oleh Real Madrid. Pochettino berkata Tottenham menerima padah kerana tidak dapat menambah jaringan ketika mereka mendahului perlawanan.

“Jika anda menilai perlawanan tadi, selama 70 minit kami bermain lebih baik dari mereka dan mencipta lebih banyak peluang. Kami tidak bernasib baik. Jika tandukan Kane memasuki jaring dan kami tidak bazirkan peluang pada separuh masa pertama, mungkin kita sedang bercakap mengenai perkara yang berbeza ketika ini. Tetapi itulah bolasepak dan ia hanya mengenai keputusan.”

BACA:  Aksi 'Dives Of The Season' Dusan Vlahovic Ketika Bertemu Atalanta