Pogba Gesa Mouriho Guna Taktik Yang Lebih Menyerang

Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba menggesa Jose Mourinho supaya menerapkan pendekatan yang lebih menyerang ke dalam taktikal pasukan.

Manchester United kini menduduki tangga ke-7 dalam Liga Perdana Inggeris selepas 6 perlawanan. Mereka semakin jauh ditinggalkan pendahulu, Liverpool yang memiliki kelebihan 8 mata ke atas United walaupun musim baru sahaja bermula.

Pogba sudah naik mual dengan taktik parking bas Mourinho. Get me out of here !

Pogba membuat gesaan tersebut selepas melihat United kehilangan mata di tempat sendiri buat kali kedua berturut-turut apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Wolves hujung minggu lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Fred terlebih dahulu meletakkan Red Devils di hadapan melalui percubaan cantik dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Rui Patricio. Namun begitu, kegembiraan peminat United tidak berkekalan lama kerana Joao Moutinho berjaya menyamakan kedudukan pada awal babak kedua.

Manchester United dilihat bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik sepanjang perlawanan dan Wolves sepatutnya pulang dari Old Trafford dengan 3 mata jika tidak kerana kecekapan David De Gea menepis segala asakan pemain Wolves.

Menurut Pogba, taktik konservatif yang diamalkan Mourinho menjadi punca mengapa United gagal bermain baik dan melepaskan gol penyamaan kepada Wolves.

Harapan palsu dari Fred kepada peminat Setan Merah. Pogba assist

“Kami bermain di tempat sendiri, dan kami sepatutnya bermain lebih baik daripada Wolves.”

“Apabila bermain di tempat sendiri, kami sepatutnya menyerang, menyerang, dan menyerang. Ini adalah Old Trafford. Kami berada di sini untuk menyerang. Saya percaya pasukan lawan akan berasa takut apabila melihat Manchester United melakukan serangan bertali arus.”

“Itu merupakan kesilapan kami dalam perlawanan tersebut. Kami sepatutnya menyerang dan menekan pasukan lawan, seperti yang pernah kami lakukan ketika menentang Tottenham, Liverpool, Chelsea dan Arsenal musim lepas. Apabila kami bermain seperti itu, keadaan akan menjadi lebih mudah buat pasukan.”

Apabila ditanya mengapa Manchester United tidak mengamalkan taktik yang lebih positif ketika menentang Wolves, kekecewaan yang terpapar dari wajah Pogba jelas kelihatan.

“Saya tidak boleh beritahu jawapan kepada soalan itu kerana saya hanya seorang pemain. Itu bukan keputusan saya.”

“Saya bukan pengurus pasukan in dan saya tidak boleh beritahu kamu jawapannya. Tetapi sudah jelas, kami sepatutnya menunjukkan beberapa pilihan ketika perlawanan.”

“Itu pendapat saya. Kami sepatutnya bergerak lebih baik dalam perlawanan itu. Ya, kami patut bergerak lebih banyak.”

Adakah Mourinho dapat menerima teguran Pogba dengan baik ? Sama-sama kita saksikan next match

Prestasi awal musim yang buruk telah mengakibatkan Manchester United terperosok di kedudukan ke-7 liga. Mereka tewas di tangan Brighton dan Tottenham dan kini ketinggalan 8 mata di belakang seteru utama, Liverpool yang selesa mendahului liga.

Pogba berkata sekarang bukan masanya lagi untuk menekan butang panik tetapi mengakui United perlu melakukan banyak perkara untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga.

“Kami tidak tewas, tetapi bagi saya, kami sepatutnya menang perlawanan tersebut. Kami bermain di tempat sendiri, dan terdapat 3 mata yang sepatutnya kami kutip.”

BACA:  Inilah Punca Utama Kenapa Man Utd Terlepas Darwin Nunez Kepada Liverpool