Premier League 2021/22: Wolverhampton Wanderers 0-1 Liverpool

Fasa sibuk dan jadual padat Premier League di bulan Disember berterusan, di sinilah ketahanan sebuah pasukan diuji dengan secara mental dan juga fizikal serta kecederaan menjadi musuh utama.

Liverpool turun menentang Wolverhampton Wanderers dalam perlawanan ke-15 Premier League dan jika disandarkan kepada prestasi semasa tiga mata mudah buat Liverpool.

Chelsea telah dikejutkan dengan aksi kebangkitan West Ham United bimbingan David Moyes di London Stadium, dua kali ketinggalan dua kali West Ham Bangkit dan menang.

Kemenangan akan melonjakkan Liverpool ke tangga teratas Premier League dan akan gayat buat sejam dua jika Manchester City menang dan jika tewas gayat sampai mabuk.

Wolverhampton Wanderers sangat liat dan kebal bertahan menyerap segala segala asakan yang cuba direncana Liverpool dan sesekali datang jika berpeluang.

Kekebalan Wolves menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaring selepas tamat 45 minit pertama di mana hanya empat percubaan berjaya dicipta Liverpool tanpa sebarang percubaan tepat.

Separuh masa kedua menyaksikan Liverpool menambah kegarangan mereka namun Wolves masih lagi kebal dan sudah pandai untuk menyerang.

Wolves telah datang menguji Alisson Becker dari gerakan yang dicipta oleh Adama Traore kerana kedunguan Virgil Van Dijk mujur Trent Alexander Arnold datang mengasak sebelum Hee-Chan Hwang mencuba.

Thiago Alcantara telah terlepas peluang terbaik apabila terpaksa bersilat untuk menolak percubaan tersasar Mohamed Salah selepas menerima hantaran genius Trent Alexander Arnold.

Sekali pandang hantaran Trent Alexander Arnold sangat mengarut dan tidak berpodaman namun bola itu sampai kepada Salah.

Leander Dendoncker berpeluang untuk meletakkan Wolves dihadapan namun Allison Becker terlalu handal untuk tewas dengan percubaan itu.

Satu serangan terus dilakukan oleh Liverpool dan penjaga gol Wolves, Jose Sa telah keluar dari kotak untuk melawan tapi Diogo Jota berjaya lolos.

Tanpa ada pemain berdekatan Jota tenang membawa bola secara solo ke depan gawang yang cuba ditutup oleh dua pemain Wolves.

Benteng dari dua pemain Wolves tidak cukup menutup gawang yang luas namun entah apa yang difikirkan Jota yang merembat ke arah pemain Wolves.

Kiri kanan kosong dan boleh menjadi sasaran mudah tapi Jota memilih ruang sempit berisiko tinggi dan akibanya tiada gol pendahuluan.

Romain Saiss pula terlepas peluang cantik dari sepakan percuma, bendera diangkat tanda offside memberi kelegaan kepada kegagalan Romain Saiss.

Mohamed Salah seperti sudah kehilangan magis apabila dirantai ketat, padat dan sendat. Pada minit ke-68 Divock Origi yang bakal menjadi wira masuk menggantikan Jordan Henderson.

Aksi laju dan kasar terus disajikan kedua-dua pasukan dan memasuki minit ke-75 kedudukan masih lagi terikat tanpa jaring.

Liverpool dilihat semakin terdesak dan Wolves lebih rilek menanti ruang dan peluang memanipulasi permainan di garisan tinggi Liverpool dengan kepantasan Adama Traore.

Pada minit ke-87, peluang baik datang lagi, percubaan Sadio Mane dengan cemerlangnya telah dinafikan dengan tepisan keluar oleh Jose Sa untuk sepakan penjuru.

Lima minit masa kecederaan diberikan pengadil dan Divock Origi muncul wira lagi dengan gol kemenangan pada minit ke-94 untuk menggayatkan Liverpool di puncak.

Gol terhasil daripada bantuan gol dari Mohamed Salah yang disudahkan oleh Divock Origi. Salah kini sudah terlibat dalam penghasilan 15 gol dalam 8 perlawanan.

Wolves (3-4-3): Sa; Kilman, Coady, Saiss; Semedo, Neves, Dendoncker, Ait-Nouri (Hoever, 90+2); Traore (Trincao, 88), Hwang (Moutinho, 79), Jimenez

Pemain Simpanan : Ruddy, Cundle, Podence, Bueno, Silva

Liverpool (4-3-3): Alisson; Alexander-Arnold, Matip, Van Dijk, Robertson; Henderson (Origi, 68), Fabinho, Thiago; Jota (Oxlade-Chamberlain, 82), Mane, Salah (Milner, 90+6)

Pemain Simpanan : Kelleher, Konate, Minamino, Phillips, Tsimikas, Williams

BACA:  Perlawanan Ulangan Liverpool vs Tottenham Dimungkinkan Oleh Peraturan UEFA