Premier League 2022/23: Manchester United 2-1 Manchester City (Agg. 5-7)

Erik Ten Hag berjaya menebus kembali kekalahan pertamanya di Manchester Derby untuk meneruskan rentak kecemerlangan Manchester United apabila liga kembali bersambung selepas Piala Dunia.

Manchester United telah mencipta kebangkitan sensasi selepas ketinggalan satu gol kepada Manchester City untuk mencatatkan kemenangan 2-1 dengan dua gol dalam tempoh 4 minit.

Manchester Derby menemukan dua pasukan berjiran dari bandar Manchester iaitu Manchester United dan Manchester City berlangsung lagi di mana mana Old Trafford menjadi medan untuk menjadikan Bandar Manchester Merah atau Biru.

Ini merupakan Manchester Derby kedua di Premier League bagi musim 2022/23 di mana ketika kunjungan Manchester United ke Stadium Etihad mereka telah dibelasah 6-3.

Perlawanan itu juga menyaksikan Erling Braut Haaland dan Phil Foden masing-masing telah mencetak hatrik. Satu perlawanan yang pasti mahu dilupakan Setan Merah.

Kini Manchester United menyantuni kehadiran City dengan nafas dan wajah baru pasukan yang sudah berada di prestasi terbaik dan mungkin sukar untuk dibelasah lagi dalam perlawanan ke-500 Pep Guardiola dalam karier selaku pengurus.

Pemain pinjaman terbaru yang berjaya didapatkan Manchester United, Wout Weghorst masih lagi tidak diturunkan dan hanya berada di tempat duduk penonton walaupun ada melaporkan dia akan diterus dimainkan dalam perlawanan ini.

Eric Ten Hag terus menggandingkan Luke Shaw dan Raphael Varane di pertahanan tengah, Aaron Wan Bissaka terus mendapat kepercayaan untuk bermula dari kesebelasan utama.

Bruno Fernandes mencuba dengan satu percubaan leret dari sebelah kanan namun tersasar tapi cukup untuk membuatkan hadirin di kedai mamak bersorak.

Manchester United dapat dilihat lebih memberi ancaman namun ada beberapa peluang telah disia-siakan kerana salah faham.

Selepas 15 minit permainan barulah Manchester City mula mendapat rentak dan bermain di kawasan Manchester United. Melihat Haaland dalam kotak cukup membuatkan pemain Manchester United berpeluh.

Setengah jam berlalu, permainan dihentikan seketika apabila Tyrell Malacia mengalami keceraan selepas kepalanya terhantuk ke tanah ketika jatuh.

Marcus Rashford melepaskan peluang keemasan selepas Edeson keluar dari kawasan kotak dan cuba mencabar Rashford namun tersilap perkiraan.

Gawang terbuka tanpa sebarang pengawal, Rashford memilih untuk mengawal bola memberi masa pertahanan City menutup ruang dan percubaan lemah pula dilakukan.

Marcus Rashford datang lagi selepas menerima lorongan cantik dari Cristian Eriksen ketika mahu melepaskan rembatan Ederson tiba menghadang.

Kali ini bacaan dan perkiraan Ederson betul dan tepat 100 peratus dan bala menimpa Manchester United apabila Marcus Rashford mengalami kecederaan namun dapat meneruskan permainan.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan seri tanpa jaringan. Manchester City menguasai hampir 70 peratus perlawanan namun Manchester United mempunyai peluang lebih baik yang gagal disudahkan.

Manchester City gagal menghadirkan sebarang percubaan tepat dan Manchester United mempunyai dua. Anthony Martial terus dibawa keluar selepas permainan bersambung digantikan Antony.

Manchester City meneruskan penguasaan mereka dan agak sukar untuk Manchester United menyaingi corak permainan Pep Guardiola ini.

Jack Grealish hanya memerlukan empat minit di padang bagi menjaringkan gol pembukaan selepas masuk menggantikan Phil Foden pada minit ke-57.

Umpanan sedap Kevin De Bryune terus ditanduk tajam Jack Grealish. Gol kedua Jack Grealish musim ini dan merupakan percubaan tepat City dalam perlawanan ini.

Selepas ketinggalan barulah Manchester United kembali memberi reaksi balas dengan melakukan gerakan bagi mencari gol namun sukar untuk menembusi.

Pada minit ke-78 hantaran Casemiro berjaya mencari Rashford yang dalam posisi offside dan penjaga garisan sudah mengangkat bendera.

Bruno Fernandes datang dan melencongkan bola ke sebelah kanan untuk gol penyamaan. Gol tidak dikira sehinggalah campur tangan Video Assistant Referee (VAR).

Rashford langsung tidak menyentuh bola itu selepas dihantar Casemiro lalu VAR mengatakan itu adalah gol yang sah.

Pada minit ke-82, Marcus Rashford menjaringkan gol kedua selepas menolak hantaran Alejandro Garnacho ke celah kelangkang Ederson untuk gol kedua.

Kebangkitan sensasi Manchester United dan Alejandro Garnacho k yang masuk menggantikan Cristian Eriksen pada minit ke-72 membalas kepercayaan Erik Ten Hag.

Marcus Rashford, Casemiro, Malacia dikeluarkan serentak dan Harry Maguire, Lisandro Martinez dan Scott McTominay masuk.

Manchester United berjaya mengekalkan kedudukan hingga tamat perlawanan untuk memerahkan kembali kota Manchester.

Rentak cemerlang diteruskan di Old Trafford yang mencatatkan kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir dengan 26 jaringan dan hanya 4 bolos serta 7 cleansheet.

Kesebelasan Utama Manchester United: De Gea, Wan-Bissaka, Varane, Shaw, Malacia, Eriksen, Casemiro, Fred, Fernandes, Martial, Rashford.

Pemain Simpanan: Heaton, Lindelof, Maguire, Martinez, McTominay, Mainoo, Antony, Elanga, Garnacho.

Kesebelasan Utama Manchester City: Ederson, Walker, Akanji, Ake, Cancelo, Rodrigo, De Bruyne, Bernardo, Mahrez, Foden, Haaland.

Pemain Simpanan: Ortega Moreno, Phillips, Gundogan, Grealish, Laporte, Alvarez, Gomez, Palmer, Lewis.

Manchester City 6-3 Manchester United

Manchester Derby musim 2022/23 telah pun tiba masanya menemukan dua pasukan dari bandar Manchester yang berwarna biru dan merah, pemenang perlawanan ini akan mewarnai bandar ini dengan warna mereka miliki.

Diatas kertas tiada dakwa dakwi lagi bahawa perlawanan ini pasti akan menjadi milik Manchester City yang serba serbi lengkap ditambah pula dengan kehadiran Erling Haaland yang berselera tajam.

Namun dalam bola sepak semuanya boleh terjadi, gandingan Lisandro Martinez dan Raphael Varane akan berdepan ujian terbesar selepas berjaya mengekang Liverpool dan Arsenal.

Manchester City menanti kunjungan jiran mereka yang berstatus musuh di stadium Ethihad.

Seawal minit ketiga menyaksikan Manchester City telah melakukan tiga percubaan berturut-turut yang dimulakan oleh Erling Haaland namun berjaya diselamatkan Scot McTominay.

Bola terus melantun kepada Kevin De Bryune terus disusuli dengan rembatan sebelum berjaya dihadang kali ini oleh David De Gea.

Kali ini bola muntah sampai kepada Bernardo Silva yang terus mencuba dan sekali lagi Scot McTominay menafikan.

Minit ke-8, Manchester City telah berada di hadapan apabila hantaran silang terus disudahkan oleh Phil Foden dengan percubaan jarak dekat.

Manchester City terus menguasai perlawanan dan Manchester United tampak bergelut untuk menyaingi Manchester City bagi memberi sedikit cabaran.

Pada minit ke-18, Manchester City hampir menggandakan kedudukan melalui sepakan percuma cantik Ilkay Gundogan yang sekadar menghentam tiang ketika De Gea sudah tergamam.

Tiga minit kemudian, City datang lagi, hantaran silang Ilkay Gundogan telah ditembak dengan rembatan liar oleh Bernardo Silva.

Selepas 30 minit perlawanan, Manchester United masih lagi gagal untuk mendapat rentak untuk mengimbangi kehebatan City yang bermain seperti sesi latihan.

City datang lagi dengan rembatan bertubi-tubi membuatkan Varane rebah ke tanah selepas terkena remabtan Foden tapi tidak dihiraukan.

Rembatan ditutup dengan percubaan De Bryune yang ditepis keluar De Gea untuk sepakan penjuru yang terus disundul tajam Haaland.

Tyrel Malacia berjaya mengeluarkan bola namun garisan gol teknologi telah mengesahkan bola telah melepasi garisan sepenuhnya.

Hantaran genius dan super jahat dari De Bryune mencari Haaland yang dahagakan gol terus disudahkan untuk gol ketiga City.

Dua gol dalam tempoh empat minit dari Haaland pada minit ke-34 dan 38 dan Haaland berpeluang cerah mencipta hatrik dan menjadi pemain pertama cetak hatrik tiga perlawanan berturut-turut di tempat sendiri.

Manchester United terus lesu dan hanya menghitung menunggu mati, lebih parah apabila Varane terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan, Victor Lindelof dimasukkan.

Anak buah Pep Guardiola masih tidak puas untuk membirukan bandar Manchester dengan tiga gol dan Phil Foden menghadirkan gol keempat dipenghujung babak pertama.

Peminat Manchester United telah dirakam secara langsung meninggalkan stadium Ethihad selepas gol Phil Foden itu hadir.

Bersambung permainan untuk baki 45 minit kedua, Manchester United dilihat berjaya memperkemaskan permainan dan City terus mempamerkan permainan bersahaja penuh yakin untuk terus menambah jaringan.

Pada minit ke-56, Antony Santos berjaya memecahkan telur Manchester United untuk mengurangkan defisit dengan gol rembatan luar kotak yang cantik menawan.

Gol yang sepatutnya menjadi gol semangat buat Setan Merah namun aksi longlai terus di pamerkan dan Erling Haaland mencetak hatrik ketiga musim ini pada minit ke-65.

Erling Haaland yang disaksikan oleh bapanya di stadium mencipta sejarah menjadi pemain pertama cetak hatrik tiga perlawanan berturut-turut di tempat sendiri.

Hantaran Sergio Gomez yang masuk menggantikan Kyle Walker di penghujung babak pertama terus dibedil Haaland sepadu mungkin. VAR meneliti jaringan itu kerana dikhuatiri Gomez offside namun tiada kecurangan.

Jack Grealish memulakan gerakan dengan membawa bola sebelum dihantar kepada Haaland dan terus menjolok kepada Phil Foden untuk hatrik dan gol keenam City.

Manchester United musim ini lebih baik berbanding musim lalu apabila masih lagi cuba melawan dan Anthony Martial telah menjaringkan gol kedua pada minit ke-84.

Antony jelas kelihatan sebagai satu-satunya pemain yang beraksi sepenuh hati namun kurang mendapat sokongan dari rakan-rakan.

Berjaya menjaringkan gol membuatkan Martial turut bersemangat dan berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas lakonan yang berjaya meyakinkan pengadil.

Martial berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 6-3 dan hanya dua minit masa kecederaan diberikan pengadil kerana tidak mahu Setan Merah terus diaibkan.

Manchester City (4-3-3) Ederson; Walker, Akanji, Ake, Cancelo; De Bruyne, Gundogan, Bernardo; Foden, Haaland, Grealish.

Pemain Simpanan: Ortega Moreno, Carson, Dias, Laporte, Alvarez, Gomez, Mahrez, Palmer, Lewis.

Manchester United (4-2-3-1) de Gea; Dalot, Varane, Martinez, Malacia; McTominay, Eriksen; Antony, Fernandes, Sancho; Rashford.

Pemain Simpanan: Heaton, Shaw, Lindelof, Casemiro, Fred, Pellistri, Elanga, Martial, Ronaldo.

BACA:  Guardiola: Kejuaraan Liga Lebih Bermakna Daripada Liga Juara-Juara Eropah