Pengadil Malaysia, Nazmi Nasaruddin mendapat pujian media Vietnam kerana prestasi cemerlangnya mengadili perlawanan V-League melibatkan perlawanan di antara Binh Duong Club menentang Da Nang pada hujung minggu lalu.
Nama Nzmi sememangnya bukan nama yang asing lagi di kancah pengadilan Liga Malaysia. Malah kerana kecemerlangannya, pengadil berusia 33 tahun itu dinobatkan sebagai Pengadil Kebangsaan Terbaik pada 2022.
Sering kali diberikan peranan mengadili perlawanan-perlawanan utama di Liga Malaysia, Nazmi turut cemerlang di luar negara apabila mengharumkan nama negara apabila dipilih untuk mengadili aksi final Piala Asia Bawah 20 (B-20) di Uzbekistan pada Mac lalu.
Maka tidak hairanlah mengapa khidmat beliau turut ditagih oleh Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) untuk mengadili perlawanan V-League pada musim ini.
Dalam perlawanan pada Ahad lalu, kecemerlangan Nazmi sekali lagi mendapat pujian kerana berjaya menilai dengan baik situasi yang boleh menjadi kontroversi melibatkan penyerang antarabangsa Vietnam, Nguyen Tien Linh.
Pada kedudukan sedang terikat 1-1, penyerang berusia 25 tahun itu seolah-olah dikasari di dalam kotak penalti Da Nang dan cuba mendapatkan sepakan penalti.
Namun kejadian sebenar yang merupakan sekadar simulasi oleh Tien Linh tidak terlepas daripada penilaian tajam Nazmi. Malah insiden minit ke-41 itu menyaksikan Tien Linh diberikan layangan kad kuning oleh Nazmi.
Menurut penilaian Nazmi, sentuhan oleh pemain Da Nang tidak mencukupi untuk menyebabkan Tien Linh terjatuh.
Pada ketika kejadian itu berlaku, Nazmi berada berhampiran dan mempunyai pandangan yang jelas untuk menilai situasi tersebut secara menyeluruh.
Ini menyebabkan Nazmi tidak teragak-agak untuk melayangkan kad kuning kepada Tien Linh.
Mungkin enggan mengambil risiko dilayangkan kad kuning kedua, penyerang itu kemudiannya digantikan sebelum bermulanya babak kedua perlawanan.
Sebelum ini Nazmi turut pernah dipilih mengadili perlawanan Kumpulan F Liga Juara-Juara Asia (ACL) di antara wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai dan kelab Australia, Perth Glory pada 24 Nov, selain bertindak sebagai pegawai keempat pada dua lagi perlawanan iaitu pertemuan di antara Melbourne Victory dan Beijing Guon pada 27 Nov serta aksi melibatkan kelab Jepun, Yokohama F. Marinos menentang Jeonbuk Hyundai Motor dari Korea Selatan pada 1 Dis lalu.