Ralf Rangnick Mengaku Terpaksa Halang Perpindahan Lingard Kerana Greenwood

Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick semalam telah mendedahkan bahawa penangkapan dan penggantungan Mason Greenwood daripada pasukan telah membuatkannya menghalang pemain yang sentiasa menjadi wonderkid, Jesse Lingard, daripada berpindah keluar daripada kelab tersebut.

Greenwood baru-baru ini telah menggemparkan dunia maya apabila bekas teman wanitanya telah berkongsi di akaun Instagram bahawa dia telah dicederakan dan dipaksa untuk melakukan hubungan kelamin oleh penyerang (mungkin bekas penyerang) Manchester United tersebut.

Susulan daripada pendedahan tersebut, Greenwood telah ditahan polis dan dilepaskan selepas dijamin. Kesannya, Greenwood tidak dibenarkan untuk berlatih bersama pemain lain sehingga diberitahu kelak, sekaligus menutup jalan kepada Lingard untuk keluar mencari minit permainan yang lebih kerap selepas dia menjadi mengsa peram bekas pengurus, Ole Gunnar Solskjaer dan juga pengurus sekarang.

Sebelum itu, Lingard diberitahu oleh Rangnick bahawa dia dibenarkan untuk menyertai mana-mana pasukan tetapi pada hari terakhir jendela perpindahan Januari, keputusan tersebut diubah serta-merta.

“Kami berlatih macam biasa minggu ni, dengan lima sesi latihan termasuk yang hari ini,” Rangnick bercakap kepada wartawan selepas ditanya.

Kalau tak ditanya, tak mungkin tiba-tiba Rangnick nak bercakap, ye dak?

“Sememangnya cerita tu (penahanan Greenwood) menjadi topik perbualan di dalam pasukan, tetapi mereka adalah insan biasa dan Mason adalah sebahagian daripada pasukan ini sebelum kita bercuti.

“Seminggu ni memang kami berlatih dengan baik, dan boleh berlatih di bawah keadaan yang biasa dan kami tak sabar nak tunggu perlawanan Piala FA esok (menentang Middlesborough).

“Tiga minggu lalu, Jesse tidak mahu meninggalkan kelab, tapi lepas tu dia berubah fikiran.

“Aku ada sembang dengan dia 10 hari lepas dan aku faham sangatlah kenapa dia nak keluar – nak cari minit permainan untuk masa depannya dan juga Piala Dunia.

“Aku bertahu dia yang kalau dia boleh dapat satu kelab dan kelab tersebut boleh capai kata sepakat dengan kelab kita, aku benarkan dia untuk keluar, tapi dengan apa yang terjadi, situasi dah berubah.

“Pada masa yang sama, kita pun tak ada sebarang persetujuan dengan mana-mana kelab, jadi kita kena ambil keputusan yang terakhir bersama lembaga pengarah dan akan kekalkan Jesse sehingga musim tamat.”

Ketika ditanya sama ada Greenwood menyumbang kepada pengekalan Lingard, Rangnick menjawab;

“Dari satu segi, ya betul, tapi kelab dah bagitahu kat aku, lembaga pengarah pun ada bagitahu yang mereka nak dia kekal, dan aku faham serta maklum.

“Kita ada masalah dengan Mason Greenwood dan kita kekurangan seorang pemain buat masa ini.”

Dalam jendela perpindahan Januari, Manchester United telah melepaskan beberapa pemain seperti Anthony Martial, Donny van de Beek dan Amad Dialo, yang dipinjamkan ke kelab lain dan Rangnick telah memberitahu kenapa dia perlu berbuat demikian.

“Pasukan yang kita ada ni agak besar, kita ada ramai sangat pemain yang tidak berapa nak dapat peluang untuk bermain secara kerap,” ujarnya.

“Donny, Anthony dan Amad patut mendapat lebih banyak minit permainan dan aku ucapkan selamat maju jaya.

“Amad dah mula bermain dan dah jaringkan gol pertamanya dan aku yakin yang Donny dengan Anthony akan buat yang terbaik di Sevilla dan Everton dan aku harap mereka akan pulang kembali nanti.”

Tidak pasti kenapa Rangnick berharap pemain-pemain tersebut akan kembali. Mungkin mereka akan diberikan lebih banyak minit permainan nanti ataupun akan diperam seperti buah pisang di bawah guni plastik di tepi pangku di belakang rumah.

Anak buah Rangnick akan memulakan kempen Piala FA mereka menentang Middlesborough yang kini berada di tangga ketujuh Liga Kejuaraan, berkongsi mata dengan West Bromwich Albion dalam merebut slot ke perlawanan kalah mati untuk naik ke Liga Perdana.

Selepas itu, United akan kembali beraksi di dalam kancah Liga Perdana menentang Burnley di tempat lawan pada 9 Februari 2022, dan menerima kunjungan Southampton tiga hari kemudian.

Tiga bulan berhempas pulas dan cuba belajar apa itu gegenpressing daripada Rangnick, pasukan Manchester United akhirnya berjaya naik ke tangga keempat liga selepas menewaskan West Ham United dua minggu lalu hasil jaringan pada minit ke 90+3 daripada Marcus Rashford.

Sumber berita : Mirror

BACA:  Peminat Man United Tidak Kisah Dengan Glazer Bila Menang Termasuklah Neville