Pemain pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos mungkin akan digantung daripada beraksi untuk perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah atas tindakannya meninggalkan tempat duduk penonton dan duduk berdekatan dengan padang ketika perlawanan berlangsung.
Ramos menjalani pergantungan perlawanan dan tidak dapat beraksi ketika Real Madrid tumpas 3-1 di tangan Juventus awal pagi tadi tetapi tetap mara ke pusingan seterusnya menerusi aggregat 4-3.
Ramos dilihat meninggalkan tempat duduknya di kawasan penonton dan berdiri berdekatan kawasan padang untuk beberapa minit terakhir perlawanan. Beliau juga terlibat dalam satu insiden pertengkaran dengan pengurus Juventus, Massimiliano Allegi sebelum Cristiano Ronaldo mengambil sepakan penalti yang memastikan tempat Real Madrid di pusingan separuh akhir.
Tindakan Ramos berdiri berdekatan kawasan padang semasa menjalani penggantungan adalah satu kesalahan dan melanggar peraturan yang ditetapkan UEFA dalam Artikel 15, ‘Misconduct of Players and Officials, Seksyen (vii)’. UEFA telah menetapkan mana-mana pemain yang digantung perlawanan tidak boleh terlibat dalam apa jua kapasiti sepanjang perlawanan berlangsung.
Pengadil perlawanan, Michael Oliver akan menghantar laporan penuh perlawanan yang berlangsung dengan panas itu kepada UEFA pada hari ini. Sekiranya nama Ramos dipetik oleh pengadil dalam laporan tersebut, beliau berdepan kemungkinan digantung satu lagi perlawanan oleh badan induk tersebut.
Insiden yang hampir serupa pernah berlaku sebelum ini yang turut melibatkan bekas pemain Real Madrid. Xabi Alonso diperintahkan menjalani penggantungan 1 perlawanan pada tahun 2014 selepas beliau berlari turun ke tepi padang untuk meraikan gol jaringan Gareth Bale dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid.
Alonso tidak boleh beraksi dalam perlawanan akhir tersebut tetapi bertindak memanjat pengadang stadium untuk meraikan gol bersama rakan sepasukannya yang lain.
Dalam perlawanan timbal balik awal pagi tadi, Juventus yang ketinggalan 3-0 secara aggregat melakukan kebangkitan yang menakjubkan apabila menjaringkan 3 gol menerusi Mario Mandzukic yang menanduk masuk dua gol dan satu lagi gol disumbangkan oleh Blaise Matuidi.
Disaat perlawanan seakan menuju ke waktu tambahan, situasi kelam kabut dalam kotak penalti Juventus berakhir dengan pengadil, Michael Oliver menghadiahkan penalti kepada pasukan tuan rumah.
Oliver mendakwa pemain sayap Real Madrid, Lucas Vasquez telah dijatuhkan oleh pemain pertahanan Juventus, Mehdi Benatia dan tanpa ragu-ragu menuding jari ke arah penalti spot.
Tindakan pengadil itu telah membuatkan hampir kesemua pemain Juventus mengerumuni beliau bagi menyatakan ketidak puasan hati mereka terhadap keputusan yang dianggap tidak adil dan berat sebelah.