Pogba Berhadapan Hukuman Gantung 4 Tahun Kerana Doping

Paul Pogba berhadapan hukuman gantung selama 4 tahun selepas diuji positif testosterone.

Pemain tengah Juventus itu digantung secara serta merta buat masa ini selepas ujian doping secara rawak diambil selepas perlawanan Juventus menentang Udinese pada 20 Ogos lalu.

Keputusan ujian doping Pogba dan tindakan sementara yang diambil terhadapnya diumumkan oleh Tribunal Anti-Doping Kebangsaan Itali pada Isnin.

Ujian tersebut mendapati kandungan testosterone, iaitu hormon yang boleh membantu atlet meningkatkan ketahanan diri berada di tahap yang tidak sepatutnya.

Ini bermakna ujian kedua untuk mendapatkan sampel baharu akan dilakukan terhadap Pogba dan pemain itu diberikan masa tiga hari untuk memberikan sampel yang memberikan keputusan sebaliknya.

Jika didapati bersalah kerana menggunakan bahan terlarang, pemain antarabangsa Perancis itu berhadapan hukuman gantung di antara dua sehingga empat tahun.

“Seperti yang telah ditetapkan oleh pihak pendakwa Anti-Doping Kebangsaan, Paul Labile Pogba kini digantung daripada bola sepak secara sementara, ujar kenyataan daripada NADO.

“Pihak tribunal mendapati Pogba telah melanggar peraturan anti-doping apabila menemui kandungan testosterone bukan semulajadi [di dalam sampel].”

Dalam perlawanan menentang Udinese yang ebrakhir dengan kemenangan 3-1 kepada Juventus, Pogba adalah pemain simpanan dan tidak diturunkan dalam perlawanan tersebut.

Pemain itu melalui prestasi merudum sejak berhijrah dari Manchester United pada 2022 dan kariernya di Turin buat kali kedua lebih kerap dibayangi oleh isu kecederaan dan kecergasan.

Musim lalu Pogba tidak beraksi hampir keseluruhan musim akibat kecederaan lutut dan pengkal paha dan tidak berada di dalam skuad Perancis yang mara ke final Piala Dunia 2022 di Qatar selepas menjalani pembedahan lutut.

Pemain itu turut digugurkan daripada skuad Juventus kerana masalah disiplin dan pernah mendedahkan dirinya hampir bersara selepas diugut oleh kumpulan jenayah terancang.

Musim ini pemain tengah itu belum beraksi sebagai pemain kesebelasan utama dalam mana-mana perlawanan dan dinamakan di bangku pemain simpanan dalam dua perlawanan.

Kali terakhir Pogba beraksi ialah ketika membantu Juventus menang 2-0 ke atas Empoli pada 3 September lalu sebagai pemain gantian.

Setakat ini Juventus belum mengeluarkan sebarang kenyataan walaupun ada laporan mengatakan kelab Turin itu kini mahu menamatkan terus kontrak Pogba susulan isu doping ini.

BACA:  Ultras PSG Ancam Kerat Jari Vlahovic Jika Pindah Ke Kelab Itu