Buffon Arah Ejen ‘Terminate’ Kontrak Bersama Parma

Gianluigi Buffon dilaporkan akan menamatkan kontrak bersama Parma dan bersara daripada bola sepak sepenuhnya selepas 28 tahun bergelar pemain bola sepak profesional.

Penaga golk berusia 45 tahun itu sebelum ini menyatakan niatnya untuk bermain sehingga Piala Dunia 2026, dan perancangan awalnya ialah untuk bermain sehingga kontraknya bersama Parma tamat pada Jun 2024.

Walaupun demikian beberapa siri kecederaan yang dialaminya sejak beberapa musim lalu memaksa Buffon mengubah keputusan itu.

Menurut laporan Sky Sports yang diambil daripada Gianluca di Marzio, ejen Buffon akan menemui wakil daripada Parma pada beberapa hari berikutnya untuk mencapai persetujuan bersama penamatan kontrak.

Buffon selepas itu dijangka akan ditawarkan untuk memainkan peranan sebagai wakil atau ketua delegasi skuad kebangsaan Itali yang sebelum ini dipegang oleh Gianluca Vialli.

Buffon kembali menyertai Parma pada 2021 selepas kariernya di peringkat kelab turut bermula di akademi kelab tersebut. Beliau bagaimanapun paling dikenang ketika beraksi bersama Juventus.

Kembali menyertai Parma dua tahun lalu, Buffon berharap mampu membantu kelab itu kembali ke Serie A namun gagal berbuat demikian selepas dua musim beraksi bersama kelab Serie B itu.

Sejak kembali menyertai Parma, Buffon sempat melakukan 45 penampilan di semua pertandingan dan kariernya bersama kelab itu pada musim lalu lebih banyak dibayangi oleh isu kecederaan.

Sepanjang musim 2022/23, Buffon hanya melakukan 19 penampilan di Serie B dan kebanyakkan tempoh penjaga gol veteran itu bergelut dengan kecederaan pangkal paha dan betis.

Sepanjang bergelar pemain penjaga gol legenda itu telah memenangi 10 kejuaraan Serie A, enam Supercoppa Iralia, enam Coppa Italia, dan turut bertanggungjawab membantu Itali muncul juara Piala Dunia pada 2006.

Buffon juga adalah pemegang rekod pemain yang melakukan penampilan terbanyak di Serie A dengan 657 penampilan.

BACA:  Serie A 2020/21: AC Milan 1-3 Juventus