Kes Pertaruhan Bola Sepak Di Itali Bertukar Jadi Skandal Perjudian Selepas 40 Pemain Lain Turut Akan Disiasat

Lebih daripada 40 pemain dilaporkan turut terlibat di dalam skandal perjudian bola sepak yang mengemparkan bola sepak Itali selepas dua pemain Premier League, Sandro Tonali dan Nicolo Zaniolo disiasat polis berhubung dakwaan sama.

Pemain tengah Newcastle Tonali dan pemain sayap Aston Villa Zaniola adalah antara nama terawal yang didedahkan dan kini disiasat oleh pihak berkuasa di Itali bersama-sama pemain tengah Juventus Nicolo Fagioli.

Semua telefon dan peralatan komunikasi ketiga-tiga pemain telah dirampas untuk membantu siasatan.

Senarai pemain yang terlibat dengan aktiviti pertaruhan bola sepak yang diharamkan di Itali bagaimanapun tidak terhad kepada ketiga-tiga pemain sahaja apabila laporan terbaru mendedahkan lebih 40 nama lain turut berada di dalam senarai pihak berkuasa.

Tonali dan Zaniolo pada mulanya bersama skuad kebangsaan Itali untuk pusingan kelayakan Euro 2024 menentang Malta dan England.

Kedua-duanya kemudian dilepaskan daripada skuad Itali setelah butiran dakwaan didedahkan sebelum dua pemain itu disiasat oleh pihak polis di kem latihan pasukan negara itu pada Khamis lalu.

Di Itali pemain bola sepak profesional dilarang langsung untuk terlibat dengan pertaruhan bola sepak.

Pemain yang ingkar akan berhadapan hukuman minima selama 3 tahun. Ini bermakna Newcastle United dan Aston Villa berkemungkinan hilang khidmat kedua-dua pemain itu untuk tempoh masa yang lama – walaupun kedua-duanya masih dibenarkan beraksi bersama kelab sehingga disabitkan bersalah.

Zaniola dijangka akan berhadapan hukuman lebih berat kerana melakukan pertaruhan untuk perlawanan membabitkan Roma di pertandingan Copa Italia ketika dirinya masih bersama pasukan dan berada di dalam skuad hari perlawanan.

Melalui pembelaannya Tonali menegaskan dirinya hanya bermain poker dan blackjack secara atas talian.

Zaniolo turut memberikan alasan yang sama dan menegaskan dirinya tidak bertaruh untuk perlawanan.

“Ada kemungkinan mereka bermain permainan kad seperti poker dan blackjack tanpa mengetahui ia adalah platform haram. Kita akan mengesahkan perkara itu,” kata peguam pemain itu.

Kedua-dua pemain berhijrah dari Serie A ke Premier League pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Tonali meninggalkan AC Milan untuk menyertai Newcastle United, manakala Zaniola menyertai Aston Villa kendalian Unai Emery daripada Roma.

Dan sejak berhijrah ke St. James’ Park, Tonali menjadi antara tunjang utama skuad kendalian Eddie Howe dan cemerlang membantu pasukan itu di Premier League dan UEFA Champions League.

BACA:  Juara Kumpulan A: Itali Bersama Rekod Kebalnya Dan Sudah Mahir Menyerang