Olivier Giroud Dinamakan Di Dalam XI Terbaik Serie A Minggu Ini Sebagai Penjaga Gol

Olivier Giroud telah disenaraikan di dalam kesebelasan terbaik mingguan Serie A sebagai penjaga gol setelah aksi heroiknya dalam perlawanan menentang Genoa pada hujung minggu lalu.

Penyerang veteran itu mengambil alih peranan sebagai penjaga gol Milan dalam aksi Serie A pada hujung minggu lalu setelah Mike Maignan dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan menentang Genoa.

Giroud kemudiannnya sempat menampilkan ketangkasannya pada minit akhir perlawanan untuk mengelak AC Milan daripada dibocori pada minit akhir perlawanan untuk mengutip tiga mata penuh.

Penyerang antarabangsa Amerika Syarikat Christian Pulisic menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan ini pada minit ke-87 perlawanan.

Untuk menghargai kehebatan Giroud, Serie A meletakkan pemain itu di dalam senarai XI Terbaik Mingguan pertandingan itu di posisi penjaga gol dan bukannya sebagai penyerang sepertimana posisi asalnya.

Selepas tamat perlawanan pada Sabtu lalu pengurus Mulan Stefano Pioli memuji mentaliti yang ditampilkan pemainnya dan turut mengulas mengenai taktikalnya yang meletakkan Giroud di posisi penjaga gol.

“Situasi ini tidak pernah berlaku. Sebenarnya Christian Pulisic menawarkan diri beraksi di situ tetapi kami berkata dia terlampau pendek. Jadi tugas itu jatuh kepada Oli [Giroud],” jelas Pioli.

“Banyak kejadian aneh berlaku dalam perlawanan ini. Tetapi kami memang sudah jangkakan ia adalah perlawanan sukar, dan kami berjaya mengharunginya.

“Kemenangan ini adalah kemenangan yang menampilkan mentaliti, karakter, kekuatan dan saya sangat berpuas hati dengan pemain saya.

“Kami mengharungi lima perlawanan di tempat lawan daripada lapan perlawanan setakat ini. Dan saya gembira kami berada di posisi ini. Kami juga sedar ada banyak perkara lagi kami boleh lakukan untuk menjadi pasukan yang lebih baik.”

BACA:  Liverpool Sudah Rancang Perarakan Kemenangan Liga Juara-Juara Eropah