Paolo Maldini Kini Calon Pilihan Utama Pengarah Sukan Man Utd

Paolo Maldini kini menjadi calon pilihan utama untuk jawatan Pengarah Sukan baharu di Manchester United.

Pelantikan Maldini adalah sebahagian daripada usaha Sir Jim Ratcliffe menstrukturkan semula pengurusan bahagian pengurusan di Old Trafford.

Pengasas syarikat petrokimia terkemuka dunia, INEOS itu kini sedang dalam proses untuk mendapatkan 25% pemilikan kelab dan turut akan bertanggungjawab menguruskan hal berkaitan bola sepak di kelab Premier League itu.

Beberapa laporan media di Eropah kini mendedahkan bekas pemain pertahanan dan Pengarah Sukan ini adalah antara calon pilihan utama Ratcliffe untuk membantu beliau melakukan transformasi di kelab yang semakin hilang arah tuju selepas pernah mendominasi bola sepak Inggeris selama lebih 25 tahun sejak 1992.

Maldini meninggalkan posisinya di Milan pada Jun lali. Selepas melalui karier penuh gemilang sebagai pemain, beliau kembali ke San Siro pada 2018.

Maldini kemudiannya berjaya membina kembali Milan untuk membantu kelab itu meraih kejuaraan buat kali pertama selepas 11 tahun.

Dan selepas tempoh bersama Rossoneri berakhir, Maldini kini turut mencari sebuah kelab baharu untuk meneruskan kerjayanya sebagai Pengarah Sukan.

Sebelum ini Maldini turut dikhabarkan mendapat tawaran daripada kelab Saudi Pro League, Al Ittihad namun menolak tawaran tersebut kerana ingin terus kekal di Eropah.

Tawaran daripada kelab Premier League seperti Manchester United mungkin pilihan yang lebih ideal buat Maldini.

Sky Sports baru-baru ini turut mendedahkan perbincangan turut telah mula dilakukan oleh Ratcliffe untuk membawa Maldini ke Old Trafford.

Sekiranya Maldini diberi dan menerima tawaran daripada Manchester United, beliau hampir pasti akan berhadapan dengan salah satu cabaran terbesar di dalam bola sepak – untuk mengembalikan kegemilangan di Theatre of Dreams.

BACA:  Nisbah Kemenangan United Tanpa Penalti Sangat Rendah