Pemilik AC Milan Pernah Cuba Rekrut Novak Djokovic

Pemilik AC Milan Gerry Cardinale dilaporkan pernah mencuba merekrut bintang tenis Novak Djokovic tiga bulan lalu oleh akhbar La Repubblica.

Ideanya adalah supaya Djokovic yang merupakan antara penyokong kelab itu untuk menjadi jurulatih mental, memberikan sokongan motivasi kepada pemain yang sedang berhadapan kesukaran.

Walaupun berpotensi menjalin kerjasama, tiada perbincangan berlaku di antara kedua-dua pihak mengenai peranan bintang tenis itu bersama pasukan.

Pendedahan tersebut timbil selepas AC Milan kini sedang terdesak untuk mengatur kembali strategi berhadapan cabaran di dalam dan luar padang.

Dianggap sebagai salah sebuah kelab di Eropah yang kaya dengan sejarah dan penyokongnya yang luar biasa, AC Milan kini bergelut dan hanya dibayangi oleh kejayaan silam pernah mendominasi bola sepak Itali dan Eropah.

Idea membawa Djokovic yang merupakan salah seorang ikon di dalam bidang sukan dilihat mampu memberikan dimensi unik kepada kakitangan kejurulatihan di kelab itu.

Ketahanan mental dan mentaliti untuk menang milik Djokovic adalah kekuatan utama pemain itu untuk terus meraih kejayaan luar biasa di dalam sukan tenis.

Walaupun hilang peluang menyertai Milan, sokongan Djokovic terhadap kelab iti tidak pernah pudar.

Dia kerap dilihat menghadiri perlawanan di San Siro untuk menonton perlawanan. Djokovic turut pernah menemui beberapa pemain Milan seperti Rafael Leao dan Ismael Benacer ketika ATP Finals di Turin pada November lalu.

Kelab Serie A itu kini berada di kedudukan ketiga liga di belakang Inter Milan dan Juventus. Milan kini dalam misi memburu kejuaraan ke-20 Serie A.

Milan akan menanti kunjungan Napoli di tempat sendiri pada Ahad nanti selepas merekodkan kemenangan 3-2 ke atas Frosinone.

BACA:  AC Milan Bakal Sertai Zlatan Ibrahimovic?