AC Milan Dengan Bangga Senaraikan Giroud Sebagai Penjaga Gol Baharu Musim Ini

AC Milan dengan bangganya mengumumkan Olivier Giroud sebagai penjaga gol baharu pasukan itu untuk musim 2023/24 selepas pemain penyerang itu menunjukkan ketangkasannya di posisi tersebut dalam kemenangan menentang Genoa di perlawanan Serie A pada hujung minggu lalu.

Giroud adalah pemegang rekod penjaring terbanyak skuad kebangsaan Perancis, dan terpaksa beraksi di posisi penjaga gol di dalam aksi yang berlangsung di Stadium Luigi Ferrari pada Sabti lalu setelah Mike Maignan dilayangkan kad merah kerana kekasaran terhadap Caleb Ekuban.

Pada ketika itu AC Milan sudah melakukan lima pertukaran maksimum yang diperuntukkan dan terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Giroud kemudiannya mengejutkan ramai apabila beraksi sebagai penjaga gol dan beraksi seolah-olah ia adalah posisinya selama ini.

Bekas penyerang Arsenal dan Chelsea itu menampilkan refleks luar biasa menyelamatkan percubaan pasukan lawan pada minit ke-104 perlawanan.

Giroud yang sudah menjaringkan 4 gol untuk pasukannya di semua pertandingan pada musim ini kemudiannya memastikan clean sheet menjadi miliknya untuk memastikan Rossoneri mengumpul tiga mata selepas Christian Pulisic menjaringkan gol minit akhir.

Dan selepas prestasi luar biasa yang ditampilkannya dalam perlawanan tersebut AC Milan memutuskan untuk menyenaraikan Giroud secara rasmi sebagai penjaga gol di dalam senarai skuad di laman sesawang rasmi kelab itu.

Turut disenaraikan adalah statistik Giroud yang belum dibocori setakat ini.

Selain daripada posisi baharu Giroud, penjualan jersi berwarna hijau AC Milan secara online turut menunjukkan peningkatan luar biasa.

Selepas tamat perlawanan pada Sabtu lalu pengurus Mulan Stefano Pioli memuji mentaliti yang ditampilkan pemainnya dan turut mengulas mengenai taktikalnya yang meletakkan Giroud di posisi penjaga gol.

“Situasi ini tidak pernah berlaku. Sebenarnya Christian Pulisic menawarkan diri beraksi di situ tetapi kami berkata dia terlampau pendek. Jadi tugas itu jatuh kepada Oli [Giroud],” jelas Pioli.

“Banyak kejadian aneh berlaku dalam perlawanan ini. Tetapi kami memang sudah jangkakan ia adalah perlawanan sukar, dan kami berjaya mengharunginya.

“Kemenangan ini adalah kemenangan yang menampilkan mentaliti, karakter, kekuatan dan saya sangat berpuas hati dengan pemain saya.

“Kami mengharungi lima perlawanan di tempat lawan daripada lapan perlawanan setakat ini. Dan saya gembira kami berada di posisi ini. Kami juga sedar ada banyak perkara lagi kami boleh lakukan untuk menjadi pasukan yang lebih baik.”

BACA:  Serie A 2020/21: AC Milan 1-3 Juventus