Alexander Pato Tinggalkan China, Tebus Kontrak Untuk Menjadi Ejen Bebas

Bekas pemain antarabangsa Brazil, Alexander Pato mengumumkan beliau telah meninggalkan kelab Liga Super China, Tianjin Tianhai dengan serta merta untuk menjadi ejen bebas.

Walaupun mempunyai baki kontrak selama setahun, Pato mengambil keputusan untuk menebus kontrak tersebut bagi membolehkan beliau meninggalkan China dengan serta merta dan menjadi ejen bebas.

Pato tebus kontrak demi tinggalkan China. Bukan tebus kontrak untuk sertai pasukan Selatan China

Pengumuman tersebut dibuat menerusi laman Facebook rasmi miliknya bagi memberitahu peminat yang beliau akan meninggalkan kancah bola sepak China dengan serta merta.

Dua tahun yang lalu, Pato berhijrah ke China pada usia 27 tahun bersama beberapa lagi pemain ternama. China pada ketika itu mengambil jalan yang aggresif dalam usaha mereka untuk menaikkan tahap bola sepak di negara tersebut.

Sebelum menyertai Tianjin, Pato bermain untuk Villareal di La Liga dimana beliau sempat bermain selama semusim dan hanya mampu menjaringkan 2 gol dari 14 penampilan.

Pato pernah dianggap sebagai pemain yang akan mengoncangkan arena bola sepak dunia ketika beliau bermain untuk AC Milan suatu ketika dahulu. Beliau menerima gelaran ‘Wonderkid’ kerana potensi besar yang pada dirinya.

Walau bagaimanapun, seperti kebanyakan ‘Wonderkid’ lain dalam Football Manager, Pato gagal merealisasikan potensi yang ada pada dirinya berikutan masalah kecederaan yang sering membelenggu kariernya.

Wonderkid Pato. Pembelian wajib dalam FM suatu ketika dahulu

Menyentuh mengenai prestasinya di Liga Super China, Pato dilihat telah menemui kembali sentuhan lamanya dimana beliau berjaya menjaringkan 30 gol dari 47 perlawanan untuk Tianjin sepanjang 2 musim bersama kelab tersebut.

Berikutan persembahan baik beliau di China, spekulasi mula bertiup kencang yang memetik nama Pato dengan kepulangan ke AC Milan. Beliau hampir menyertai Milan pada jendela perpindahan Januari lalu tetapi atas sebab-sebab tertentu ia tidak berlaku.

Perkembangan terbaru ini nyata memberikan harapan kepada peminat Pato yang mahu melihat pemain tersebut kembali bermain di kancah bola sepak Eropah, tempat yang sepatutnya buat Pato.

“Saya ingin memberitahu anda semua yang perjalanan karier saya di China sudah berakhir .” Ujar pemain berusia 29 tahun itu.

“Sepanjang 2 tahun saya berada di China, ia dipenuhi dengan pelbagai kenangan manis dan banyak pengalaman baru.”

“Saya sangat yakin China telah mendewasakan saya sebagai seorang lelaki. Saya belajar budaya baru cara hidup orang di negara yang hebat ini.”

Semoga Pato insaf dan kembali bermain untuk Brazil

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kelab, rakan sepasukan, jurulatih, dan semua pihak yang bekerja dengan kelab ini, termasuk peminat yang sentiasa menyokong saya dengan penuh kasih sayang. Tidak dilupakan semua warga China yang pernah saya jumpa selama dua tahun saya berada di sini.”

Selain AC Milan, terdapat juga spekulasi yang mengatakan Pato akan kembali ke tanah air beliau iaitu Brazil. Apa-apa pon semoga karier Pato kembali mekar selepas ini kerana ramai peminat yang mahu melihat pemain ini kembali memakai jersi kuning skuad Samba !

BACA:  Piala Dunia 2022: Casemiro Bawa Brazil Ke Pusingan 16