Media China Dakwa AFC Pasang Niat Jatuhkan Pasukan Mereka Di Piala Asia Untuk Balas Dendam

Beberapa media di China sepakat dengan dakwaan pasukan kebangsaan mereka sebenarnya dirompak kemenangan mereka ketika menentang Tajikistan kerana Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedang merancang untuk membalas dendam selepas negara itu menarik diri sebagai tuan rumah kejohanan Piala Asia sebelum ini.

Minit ke-81 perlawanan yang diadakan di Stadium Abdullah bin Khalifa pada Sabtu lalu menyaksikan sepakan percuma Xie Pengfei berjaya ditanduk masuk oleh pemain pertahanan Zhu Chenjie.

Pada mulanya pengadil perlawanan Mohamed Al Hoish memberikan jaringan tersebut kepada China. Campur tangan daripada VAR yang mendakwa Jiang Guangtai berada di posisi offside dan turut menolak jatuh pemain Tajikistan kemudian mengubah keputusan tersebut.

Ulang tayang menunjukkan hanya sedikit sentuhan berlaku. Malah Jiang Guangtai tidak terlibat dengan jaringan yang dihasilkan China.

Selepas menyaksikan rakaman video secara berulang kali, Al Hoish membatalkan jaringan tersebut kerana offside.

Media di China pantas mempersoalkan keputusan pengadil itu. Penganalisis bola sepak Ma Dexing yang juga Ketua Editor Majalah Sukan Titan kemudiannya meramalkan skuad kebangsaan China bakal menjadi sasaran dan mangsa pengadil di Piala Asia kali ini.

Di China, Ma Dexing dianggap wartawan yang memiliki status seperti Fabrizio Romano.

“Seperti yang pernah saya kongsikan sebelum ini, pengadil akan menyukarkan peluang China,” katanya.

“Pengadil melakukan keputusan [kontroversi] ketika Guangtai tidak terlibat [atau mempengaruhi] dengan gerakan dan jaringan itu. Jelas sekali pengadil ada masalah dengan China di sini.”

China adalah tuan rumah asal kejohanan Piala Asia kali ini, tetapi terpaksa menarik diri disebabkan pelbagai isu termasuk penularan wabak Covid-19 pada ketika itu.

Situasi tersebut menyebabkan AFC terpaksa mencari tuan rumah baharu, sebelum memilih Qatar yang juga merupakan tuan rumah Piala Dunia 2022.

“Gol oleh Chenjie dibatalkan kerana China tidak mempunyai sesiapa di AFC,” tulis Dexing melalui artikelnya.

“Sejak China menarik diri sebagai tuan rumah, kita semua boleh lihat bagaimana AFC cuba untuk membalas dendam.”

Majalah Sukan Titan memulakan penerbitannya pada 1998, dan merupakan penerbitan berkaitan sukan paling terkenal di China.

Beberapa portal sukan popular lain di negara itu seperti Sohu turut menerbitkan deretan artikel mengkritik pengadil. Antaranya laporan bertajuk: “VAR Rompak Tiga Mata Daripada China” dan “Pengadil Jadikan Piala Asia Nampak Buruk”.

Perlawanan di antara China dan Tajikistan berakhir tanpa sebarang jaringan dan keputusan tersebut sebenarnya tidaklah buruk sangat untuk China.

Kedua-dua pasukan berada di kedudukan kedua di dalam Kumpulan A di belakang Qatar. Sekiranya berjaya menewaskan Lebanon yang berada di kedudukan terbawah kumpulan, China masih lagi memiliki peluang cerah untuk mara ke pusingan kalah mati.

Ini bukan kali pertama media di China mengkritik AFC secara terbuka. Sebelum ini AFC turut menjadi sasaran penyokong bola sepak dan media negara itu setelah skuad B-23 mereka diundi bersama-sama pasukan sukar seperti Jepun dan Korea Selatan di Piala AFC B-23 2024.

Walaupun dilakukan secara terbuka sepertimana undian lain, spekulasi di China mendakwa undian tersebut telah diatur untuk menjahanamkan bola sepak China.

BACA:  Sheikh Jassim Mahu Solskjaer Kembali Ke Old Trafford Jika Berjaya Ambil Alih Man Utd