Bapa Son Heung-min Tidak Yakin Korea Selatan Mampu Juarai Piala Asia Di Qatar

Ayah kepada Son Heung-min tidak yakin Korea Selatan mampu menjuarai kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar bermula 12 Januari sehingga 10 Februari akan datang.

Perkara itu diluahkan oleh ayah kepada bintang Tottenham itu, Son Woong-jung dalam satu temubual bersama Yonhap News di Korea Selatan beberapa hari lalu.

Woong-jung adalah pemilik SON Soccer Academy dan merupakan individu terawal yang membentuk bakat Son Heung-min sehingga berjaya seperti pada hari ini.

Ketika ditemubual oleh agensi berita Korea Selatan itu, Woong-jung ditanya mengenai pendapatnya mengenai pertandingan Piala AFC di Qatar.

Ditanya mengenai pandangannya mengenai peluang Jepun atau Korea Selatan yang menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan edisi kali ini, Woong-jung pantas menjawab: “Korea tidak mampu menandingi Jepun. Kita semua, sebagai pemerhati bola sepak, harus melihat perkara ini secara terperinci.

“Realitinya Korea ketinggalan berbanding Jepun di dalam semua aspek, tak kira daripada segi kebolehan atau pelaburan untuk [pembangunan] bola sepak.

“Mereka [Korea Selatan] tidak akan menjuarai kejohanan ini. Bukan saja saya tetapi semua pemain di Korea Selatan harus merenung kembali mengapa kita gagal menjadi juara sejak 64 tahun lalu,” tegas Woong-jung.

“Anda mungkin bertanya mengapa saya berkata demikian ketika anak saya sendiri adalah kapten pasukan skuad kebangsaan?”

“Sudah tentu saya berharap Korea mampu muncul juara. Tetapi jika menang di mana semuanya serba serbi belum bersedia, maka mereka sekadar berjaya mendapatkan keputusan tanpa sebarang perubahan.

“Saya risau bola sepak Korea akan menjadi semakin tenat.

“Walaupun jika kita berjaya menewaskan Jepun dengan kemampuan yang kosong, maka kita hanya memperbodohkan diri sendiri. Jadi saya berterus terang, kita tidak akan muncul juara.”

Korea Selatan diundi di dalam Kumpulan E dan akan memulakan kempen Piala Asia di Qatar menentang Bahrain pada 15 Januari, sebelum berhadapan Jordan selang lima hari kemudian.

Korea Selatan akan menutup perlawanan peringkat kumpulan menentang Malaysia pada 25 Januari akan datang.

BACA:  "Malaysia Harus Terus Melangkah Ke Hadapan Selepas Keputusan Positif Ini"- Son Heung-min