“Malaysia Harus Terus Melangkah Ke Hadapan Selepas Keputusan Positif Ini”- Son Heung-min

Bintang Tottenham Hotspur star Son Heung-min memuji ketahanan mental dan kreativiti ditampilkan oleh skuad Harimau Malaya selepas pasukan itu berjaya mengikat Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E di kejohanan Piala Asia semalam.

Walaupun kecewa gagal merekodkan kemenangan, kapten Korea Selatan itu kagum dengan semangat juang yang ditampilkan skuad kendalian Kim Pan-gon yang berjaya bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali sebelum menamatkan perlawanan dengan satu mata di Stadium Al Janoub.

“Ia keputusan [seri] yang sukar diterima, tetapi kredit harus diberikan kepada pasukan Malaysia. Mereka berjuang sehingga wisel penamat dan saya gembira melihat kreativiti yang dihasilkan pasukan Malaysia. Mereka melakukan kerja dengan baik, dan ia begitu menarik untuk dilihat daripada kaca mata seorang penyokong.

“Kami kecewa dengan bagaimana perlawanan in berakhir, tetapi perkara terpenting ialah kami berjaya layak ke pusingan 16 pasukan terbaik. Dari situ kami mahu membuka langkah baharu berhadapan perlawanan-perlawanan penting selepas ini. Ini bermakna kami perlu berusaha lebih untuk mempersiapkan diri,” kata Heung-min.

Mengulas lebih lanjut, Son Heung-min turut berharap pasukan Malaysia boleh terus maju ke hadapan selepas berjaya memperolehi keputusan positif menentang Korea Selatan.

“Terutama untuk jurulatih [Kim Pan-gon] – saya sangat gembira untuknya. Saya berharap mereka mampu bekerja secara postif selepas keputusan ini,” tambahnya lagi.

Ketika ditemubual oleh Astro Arena, Son turut mengakui begitu mengenali Kim Pan-gon selepas pengendali pasukan negara itu sebelum ini turut pernah bekerja bersama Persatuan Bolasepak Korea Selatan [KFA] dan menganggap Malaysia bertuah kerana memiliki jurulatih dengan kredibiliti seperti itu.

Dalam pertemuan kedua-dua pasukan yang penuh mendebarkan, Malaysia yang tanpa sebarang mata dan jaringan selepas menghadapi dua perlawanan awal mengejutkan Korea Selatan 3-3.

Pemain tengah, Jeong Woo-yeong terlebih dahulu meletakkan Korea Selatan di hadapan dengan tandukan pada minit ke-21 perlawana.

Pasukan negara tampil lebih agresif pada babak kedua dan berjaya mejaringkan gol melalui Faisal Halim dan sepakan penalti Arif Aiman untuk mendahului Korea Selatan 2-1.

Korea Selatan bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan percuma yang dianggap sebagai gol sendiri penjaga gol, Syihan Hazmi sebelum kedudukan menjadi 3-2 pada masa tambahan hasil sepakan penalti Son Heung-min.

Romel Morales yang dimasukkan sebagai pemain gantian bagaimanapun tampil dengan idea lain apabila berjaya menewaskan penjaga gol lawan pada detik terakhir perlawanan untuk kedudukan akhir 3-3.

BACA:  Sukan SEA 2023: Thailand 2 Malaysia 0