“Saya Sedia Keluar”- KPG Dedah Dia Sedar Ada Pihak Tunggu Kegagalannya Bersama Harimau Malaya

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mendedahkan dia sedar ada pihak yang sedang menunggu kegagalannya bersama skuad Harimau Malaya.

Malah jurulatih Korea Selatan yang terkenal dengan keperincian dan taktikalnya sehingga berjaya mengubah wajah pasukan negara menegaskan dia tidak ada masalah untuk meninggalkan peranannya selaku pengendali bila-bila masa sahaja sekiranya dipinta untuk berbuat demikian.

“Saya sedia untuk keluar, ini adalah sut terakhir saya,” kata pengendali itu ringkas ketika ditanya wartawan mengenai sut kelabu dipakainya yang luar daripada kebiasaan bersut warna hitam ketika berada di kawasan teknikal pasukan.

Kenyataan jurulatih dari Korea Selatan itu mungkin bernada guraun dan sinis kepada pengkritiknya. Tetapi ia juga satu mesej jelas beliau tidak mempunyai masalah berbuat demikians sekiranya ada desakan.

Sebelum ini Kim Pan-gon dikritik kerana taktikalnya dalam perlawanan menentang Jordan dan Bahrain yang berakhir dengan kekalahan.

Ada yang tampil mengkritik taktikal dan pemilihan pemain pasukan itu dalam dua perlawanan tersebut dan mulai menuding jari kepada Kim Pan-gon.

“Saya sedar sepanjang dua tahun lalu kami melakukan tugas luar biasa dan menghasilkan keputusan 4-0, 5-0, 10-0.

“Setiap perlawanan kami menjaringkan gol. Sata tahu anda menunggu saya gagal. Anda menunggu dan mengetahuinya. Saya sedia. Tiada Masalah. Anda baru sahaja mahu mengeluarkan saya semalam,” kata Kim Pan-gon.

Sejak mengambil alih peranan selaku pengendali pasukan negara pada Januari 2022, Kim Pan-gon berjaya membantu pasukan negara layak ke Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar.

Selain itu Pan-gon turut berjaya membawa pasukan negara mendaki kedudukan ranking FIFA sehingga berada di kedudukan ke-130 dunia sebelum kejohanan Piala Asia bermula.

Apa yang dikatakan oleh Pan-gon mungkin ada benarnya. Ramai peminat menjadi tidak realistik dengan pencapaian cemerlang pasukan negara selepas persembahan hebat sejak dua tahun lalu. Realitinya pentas pertandingan seperti Piala Asia adalah pentas yang lebih besar dan mempunyai tahap kesukaran yang berbeza dengan pertandingan lain sebelum ini.

BACA:  Sasaran Kim Pan-gon Di Piala Asia Lebih Tinggi Daripada Impian Satu Mata Hamidin