Piala Asia: Ranking Harimau Malaya Jatuh Selepas Diratah Jordan

Ranking FIFA pasukan negara dijangka akan jatuh sehingga dua anak tangga selepas kekalahan 4-0 kepada Jordan di perlawanan pertama Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar.

Menurut perkongsian Footy Rankings, pasukan negara kendalian Kim Pan-gon hilang 12.69 mata selepas kekalahan tersebut, dan jatuh dua anak tangga untuk berada di kedudukan ke-132 dunia.

Sebelum kejohanan tersebut bermula, pasukan negara gah berada di kedudukan ke-130 dunia, selepas beberapa siri keputusan positif yang dicapai sejak dua tahun lalu di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan itu.

Kedudukan tersebut juga adalah hasil kemenangan aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ke atas Kyrgyzstan dengan keputusan 4-3 dan Taiwan (1-0).

Pasukan negara akan meneruskan saingan peringkat kumpulan menentang Bahrain pada 20 Januari, dalam perlawanan wajib menang untuk meneruskan impian ke pusingan kalah mati selepas ini.

Skuad kendalian Kim Pan-gon kemudiannya bakal menentang Korea Selatan yang memiliki barisan pemain berpengalaman beraksi di Eropah pada 25 Januari akan datang untuk menutup aksi peringkat kumpulan.

Sebelum ini Pan-gon memohon maaf atas kekalahan besar 4-0 kepada Jordan dan mengakui kegugupan pemain, selain taktikal tidak menjadi menjadi sebab utama kekalahan tersebut.

Berdasarkan statistik, Malaysia menguasai 52.1 peratus permainan berbanding Jordan (47.9 peratus).

Namun apa yang membezakan kedua-dua pasukan itu adalah keberkesanan anak buah Hussein Ammouta dalam mengatur gerakan dan mencipta jaringan.

Keputusan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon meletakkan pemain naturalisasi seperti Romel Morales dalam kesebelasan utama dan mengabaikan formasi kebiasaan yang sudah terbukti berkesan dalam beberapa perlawanan sebelumnya pada aksi penting seperti itu juga boleh dianggap mengejutkan.

BACA:  Kelayakan Piala Asia 2023: Turkmenistan 1-3 Malaysia