Bolivia Bakal Uji Kekuatan Harimau Malaya

Pasukan Harimau Malaya telah mendapat jemputan untuk menyertai karnival bola sepak Piala Raja di Thailand. Kejohanan jemputan ini bakal dimainkan dalam kalendar FIFA pada bulan September, dan akan disertai empat pasukan dengan format secara kalah mati.

Ini bermaksud, setiap pasukan akan bermain sebanyak dua perlawanan.

Untuk edisi pada tahun ini, pihak FA Thailand telah memilih wilayah di utara negara tersebut, Chiangmai sebagai lokasi kejohanan.

Menurut satu ciapan daripada @ThaiFootballs, Malaysia telah menerima jemputan daripada FA Thailand. Selain itu, pasukan negara lain yang akan sertai karnival ini adalah dari Conmebol, dan khabar angin mengatakan bahawa pasukan yang akan datang nanti adalah Bolivia.

Sementara satu lagi pasukan yang dijemput adalah daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Untuk rekod, Bolivia kini berada di ranking ke-81 FIFA dalam senarai terbaru yang dikeluakan. Walaupun jauh lebih tinggi daripada Malaysia yang berada di tangga ke-147, dan Thailand (111), Bolivia boleh dianggap sebagai pasukan yang paling lemah dalam zon Amerika Selatan.

Pasukan Conmebol yang berada di atas Bolivia adalah Venezuela, jauh di tangga ke-56.

Jadi, sekiranya Malaysia dapat menewaskan Bolivia, kiraan mata yang sangat tinggi akan dapat dicapai oleh Harimau Malaya, sekaligus menaikkan ranking negara dalam FIFA.

Bolivia pernah tampil dalam tiga edisi Piala Dunia iaitu pada tahun 1930, 1950 dan kali terakhir pada tahun 1994 di Amerika Syarikat, selain pernah muncul juara Copa America pada tahun 1963.

Kejohanan ini pasti akan menjadi medan persediaan yang baik untuk Harimau Malaya menjelang Kejohanan AFF Mitsubishi Electric 2022 yang bakal berlangsung bermula 21 Disember sehingga 17 Januari 2023.

Selepas itu, Malaysia bakal membawa cabaran dalam Piala Asia 2023.

Untuk rekod, kalendar Piala Asia 2023 masih belum ditetapkan memandangkan masih belum ada tuan rumah yang dipilih oleh AFC. Walaubagaimanapun, sebanyak empat negara telah menawarkan diri secara rasmi untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Asia 2023 menggantikan China – Korea Selatan, Australia, Indonesia dan Qatar.

Hal ini telah disahkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada pertengahan Julai yang lalu.

Tarikh tutup pengesahan penawaran diri adalah pada 31 Ogos 2022 ini dan AFC akan mengumumkan tuan rumah yang dipilih pada 17 Oktober nanti.

Pada 5 Jun 2019, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah bersepakat untuk memilih negara China untuk menganjurkan Piala Asia 2023 dalam satu Kongres Luar Biasa di Paris. Kejohanan yang melibatkan 24 negara tersebut pada awalnya akan dilangsungkan di 10 bandaraya negara Tembok Besar tersebut bermula 16 Jun sehingga 16 Julai 2023.

Walaubagaimanapun, dalam satu kenyataan pada 14 Mei 2022, AFC telah mengumumkan bahawa Persatuan Bola Sepak China (CFA) telah menghubungi badan bola sepak Asia tersebut bahawa mereka tidak mampu untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

Hal ini adalah disebabkan oleh kenaikan jumlah jangkitan Covid-19 negara tersebut yang semakin meruncing lantas membuatkan kerajaan republik tersebut mengamalkan dasar menutup pintu.

“AFC mengambil maklum keadaan yang rumit disebabkan oleh pandemik Covid-19, yang telah menyebabkan Republik Rakyat China melepaskan hak selaku penganjur,” kenyataan AFC yang ditulis di laman sesawang badan tersebut.

“AFC telah bekerjasama dengan begitu erat dengan CFA serta jawatankuasa penganjur Piala Asia China 2023 ketika persediaan dilakukan dan banyak kemajuan telah berjaya dicapai, termasuk pelancaran logo kejohanan terbaru dan perasmian stadium yang baru disiapkan – Shanghai Pudong Football Stadium – pada tahun lalu.

“AFC juga akan terus bekerja dengan rakan komerisla dan pemegang taruh untuk merencanakan ke masa hadapan serta bersyukur dengan mereka di atas kefahaman dan sokongan di dalam fasa ini.”

BACA:  Senarai 29 Pemain Ke Kem Pusat Harimau Malaya