Son Sumbat Dua Gol Selepas Diperlekehkan Pasukan Dan Media China

Tersingung dengan komen tidak sepatutnya yang seolah-olah merendahkan kemampuannya daripada pasukan dan media China, Son Heung-min menjadi lebih bersemangat untuk beraksi dengan cemerlang dan menyumbat dua gol untuk memusnahkan China

Selain dua gol jaringannya, penyerang Tottenham itu turut mencipta jaringan ketiga untuk skuad kendalian Jurgen Klinsmann merekodkan kemenangan 3-0 ke atas China di hadapan 40,000 penyokong mereka sendiri.

Ini membenarkan Korea Selatan mengumpul enam mata daripada dua perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dengan rekod sempurna.

Bercakap kepada media selepas perlawanan, Son mendedahkan motivasi di sebalik prestasi yang ditampilkannya.

“Jujur, saya terdengar bagaimana pasukan dan media China berkata mereka tahu bagaimana untuk mengekang saya, dan mereka juga tidak peduli dengan keberadaan saya. Ia bukan kata-kata yang menyenangkan,” kata Son kepada syarikat penyiar Korea Selatan.

“Apabila saya bermain bola sepak saya hormati semua pemain,” kata pemain berusia 31 tahun itu.

“Jadi untuk komen yang diberikan terhadap saya, sebagai kapten pasukan saya berpendapat ia wajib untuk membuktikan kepada mereka kemampuan saya di atas padang.”

Son kini telah menjaringkan 38 gol daripada 144 penampilan antarabangsa bersama Korea Selatan. Dua jaringan Son ketika menentang China terhasil melalui sepakan penalti dan tandukan hasil sepakan sudut sejurus sebelum babak pertama perlawanan tamat.

Perlawanan tersebut didominasi oleh Korea Selatan sepenuhnya. Kedudukan menjadi 3-0 tiga minit sebelum masa sebenar tamat apabila Jung Seung-hyun menanduk masuk hantaran sepakan percuma Son.

Selepas perlawanan, komen-komen di media sosial di China mendapati penyokong pasukan negara itu sedikit terasa dengan keraian Son selepas menjaringkan gol.

Berjaya mendiamkan lawannya itu, Son memberi isyarat diam selepas meletakkan Korea Selatan di hadapan.

Pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 di benua Asia akan berehat seketika untuk memberi laluan kepada Piala Asia 2024 yang akan berlangsung di Qatar di mana Korea Selatan adalah antara pasukan pilihan.

BACA:  Scammer Mula Tawarkan Pakej Makan Malam Dan Selfie Bersama Messi Bernilai RM193,946