[VIDEO]: Ekor Harimau Malaya Mulakan Pencerobohan Di Doha

Skuad kebangsaan negara kendalian Kim Pan-gon yang kini berada di Qatar untuk perlawanan pembukaan kejohanan Piala Asia 2023 menentang Jordan tidak akan rasa bersendirian apabila ratusan ‘ekor Harimau Malaya’ kini turut sudah berada di Doha.

Malah kumpulan penyokong Ultras Malaya itu mulai memastikan kehadiran mereka di Doha menjelang perlawanan tersebut mulai dirasai dengan nyayian ‘Inilah Barisan Kita’ – yang sememangnya dikenali sebagai sebuah lagu perjuangan.

Bertempat di Souq al Waqif di hadapan sebuah restoran tempatan, sebuah video yang tular menunjukkan sekumpulan penyokong Ultras Negara menyanyikan lagu ‘Inilah Barisan Kita’ disertai kibaran Jalur Gemilang dan paluan kompang.

Situasi tersebut turut menarik perhatian penduduk tempatan yang berada di kawasan sekitar dan beberapa daripada mereka kelihatan merakam aksi nyanyian semangat kumpulan tersebut.

Nyanyian perjuangan tersebut sudah tentu diharapkan mampu menaikkan semangat para pemain yang akan turun ke padang menentang Jordan pada awak pagi nanti.

Sebelum ini Mfast Resources Holdings Sdn. Bhd. dan Malaysia Airlines (MAS) telah menawarkan pakej lengkap buat penyokong meliputi tiket penerbangan, pe­ngangkutan, tiket perlawanan, penginapan dan makanan untuk menyaksikan aksi pasukan negara di Qatar.

Pakej tersebut bermula pada harga RM1,838 sehingga ke RM11,500.

Walaubagaimanapun Capo Ultras Malaya (UM), Lekir Ahmad mengesahkan dirinya dan komrad UM akan terbang ke Doha secara sendiri tanpa mengambil pakej Road To Doha bagi memberi peluang kepada penyokong yang lain.

“UM sememangnya sudah isytihar yang kita tidak akan ambil pakej ini kerana kebanyakan daripada kami sudah membeli tiket dan ada tempat penginapan, tetapi kami tidak menolak sekiranya ada sesetengah individu yang mahu mengambil pakej ini,” katanya.

Edisi Piala Asia kali ini menyaksikan Malaysia layak kali pertama secar merit selepas 43 tahun. Selepas perlawanan menentang Jordan, pasukan negara akan melayan Bahrain pada 20 Januari sebelum menutup saingan peringkat kumpulan menentang Korea Selatan lima hari kemudian.

BACA:  FAM Bakal Umum Pemain Misteri Yang Ke-26, Senjata Sulit?