Tipah Tertipu, Newcastle Kaji Ambil Tindakan Perundangan Terhadap Milan Dan Tonali

Newcastle United dilaporkan sedang meneliti pilihan yang mereka ada daripada segi perundangan selepas Sandro Tonali dijangka akan digantung untuk tempoh masa yang panjang kerana terlibat dengan perjudian bola sepak.

Berdasarkan perkembangan semasa, pemain tengah yang didatangkan daripada AC Milan pada jendela perpindahan musim panas lalu itu kini akan dihukum gantung selama 24 bulan.

Pihak FA kini turut sedang menunggu pengesahan jangkauan hukuman terhadap pemain itu yang diumumkan oleh pihak berkuasa di Itali dalam masa terdekat, sebelum melakukan tindakan selanjutnya untuk menyiasat sama ada ia turut melanggar peraturan di bawah bidang kuasa badan itu.

Media di Itali melaporkan Tonali telah mengakui melakukan pertaruhan terhadao Milan ketika masih bersama kelab itu. Kesalahan melakukan pertaruhan dan terlibat dengan perjudian di kalangan pemain bola sepak di Itali boleh dijatuhkan hukuman gantung selama tiga tahun.

Walaupun demikia penyesalan dan kesanggupan pemain itu untuk merawat ketagihan berjudi seperti mana yang didakwa oleh ejen pemain itu mungkin akan membantu untuk mengurangkan tempoh hukuman.

Tambahan Tonali turut tidak pernah bertaruh Milan tewas dalam mana-mana perlawanan. Hukuman gantung terhadap pemain itu dijangka akan diumumkan seawal minggu hadapan.

Perkembangan terbaru ini turut mendorong Newcastle untuk menyiasat sejauh mana Milan dan Tonali mengetahui mengenai siasatan tersebut sebelum pemain itu melengkapkan perpindahan £52 juta ke St. James’ Park pada Julai lalu.

Pengurus pasukan Eddie Howe sebelum ini berkata mereka gembira dan juga terkejut kerana berjaya memujuk pemain seperti Tonali menyertai mereka – di mana urusniaga dengan Milan begitu mudah.

Pada ketika itu Tonali sepatutnya sudah maklum mengenai kesalahan yang dilakukannya. Buat masa ini Newcastle masih menyatakan sokongan terhadap pemain itu dan keluarganya.

Walaupun demikian persoalanan mengenai bayaran lumayan yang diterima pemain itu di St. James’ Park akan menjadi tanda tanya sebaik sahaja tempoh hukuman gantung diumumkan. Perkara itu dilihat tidak adil buat Newcastle kerana kesalahan tersebut dilakukan sebelum Tonali menyertai mereka.

BACA:  Kaka: Saya Menyesal Tinggalkan AC Milan Untuk Sertai Real Madrid