Penalti Diberi Kepada PSG Langgar Garis Panduan UEFA

Newcastle sememangnya berhak merasakan kemenangan telah dirampas daripada mereka dalam perlawanan peringkat kumpulan menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada awal pagi tadi.

Sepakan penalti sepatutnya tidak diberikan kepada PSG untuk membenarkan Kylian Mbappe menjaringkan gol penyamaan perlawanan pada minit kelapan masa kecederaan.

Syzmom Marciniak sebenarnya bukanlah calang-calang pengadil. Beliau adalah pengadil utama perlawanan akhir Piala Dunia 2022, dan Tomasz Kwiatkowski pula mengetuai barisan pengadil VAR pada malam tadi.

Kedua-duanya mempunyai pengalaman yang mencukupi dan begitu dihormati di dalam dunia pengadilan di Eropah, namun sukar untuk menafikan kesilapan besar telah dilakukan dalam pertemuan di antara PSG dan Newcastle di Parc des Princess pada malam tadi.

Menurut Mark Clattenburg penagdil sepatutnya konsisten di dalam penilaian mereka dan ia perlu dilakukan secara menyeluruh.

“Di awal perlawanan bola jelas kelihatan terkena tangan Lewis Miley, namun sebelum itu ia turut mengenai paha pemain itu. Tiada penalti diberikan,” jelas pengadil elit itu.

“Kwiatkowski tidak memanggil Marciniak di atas padang untuk melakukan semakan semula atas keputusan tersebut.

“Namun demikian di babak akhir perlawanan, kejadian yang begitu mirip sekali lagi berlaku. Bola terlebih dahulu mengena dada Tino Livramento sebelum ia melantun ke arah siku pemain itu.

“Kwiatkowski kemudiannya mencadangkan Marciniak melakukan semakan semula melalui VAR.

“Dan Marciniak yakin tangan dan lengan Livramento sengaja didepakan kerana sudut rakaman VAR menunjukkan demikian.

“Namun demikian daripada sudut yang disaksikan daripada kaca televisyen, ia menunjukkan sebaliknya.

“Livramento tidak bertindak melebarkan tangannya untuk menghalang bola. Tangan dan lengannya berada di posisi semulajadi ketika larian dilakukan. Dia tidak mempunyai masa untuk bertindakbalas terhadap lantunan bola.

“Jelas sepakan penalti ini melanggar garis panduan yang diberikan UEFA. Dan Newcastle membayar dengan harga yang mahal.”

BACA:  PSG Menang 7-2 Selepas Messi Memperkotak Katikkan Maccabi Haifa