Bagaimana Prestasi Lemau Man Utd Dan Newcastle Jejas Slot Champions League Kelab-Kelab EPL

Harapan Premier League untuk mendapatkan slot kelima di pertandingan UEFA Champions League pada musim hadapan semakin sukar selepas prestasi lemau Manchester United dan Newcastle United itu pada musim ini.

Kedua-dua pasukan gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati pertandingan elit kelab-kelab eropah itu pada musim ini.

Skuad kendalian Erik ten Hag tewas 1-0 kepada Bayern Munich pada Selasa sebelum Newcastle United tewas 2-1 kepada AC Milan sehari selepas itu untuk menduduki tempat tercorot kumpulan masing-masing.

Prestasi kurang memberangsangkan kedua-dua pasukan di pentas Eropah itu pada musim ini dijangka akan memberikan kesan terus kepada kelab-kelab Premier League untuk saingan musim hadapan yang menyaksikan pertambahan pasukan beraksi daripada 32 kepada 36 pasukan.

Berdasarkan perubahan terkini oleh UEFA, dua liga akan menerima penambahan slot untuk saingan musim hadapan. Dua lagi slot pula akan diberikan kepada dua pasukan terbaik di dalam senarai ranking kelab UEFA yang gagal melayakkan diri ke pertandingan tersebut melalui kaedah konvensional seperti yang ditetapkan selama ini.

Dua slot yang dikhaskan untuk liga adalah berdasarkan pencapaian kelab-kelab bertanding di tiga pertandingan Eropah pada musim ini – Champions League, Europa League dan Conference League.

Dua mata diberikan untuk setiap kemenangan, dan satu mata untuk keputusan seri.

Mata bonus turut diberikan untuk pengiraan kedudukan liga terbaik berdasarkan sejauh mana kelab yang mewakili liga itu mampu mara di setiap pertandingan.

Di akhir musim semua mata ini akan dikumpulkan dan dibahagi dengan jumlah kelab bertanding mewakili sesebuah liga untuk menentuka liga mana yang layak mendapat tambahan slot.

Pada ketika ini Bundesliga mengumpul mata tertinggi dengan purata 13.36 mata. Di kedudukan kedua adalah Serie A dengan kiraan 13.34 mata. Berdasarkan kedudukan semasa kedua-dua liga akan mendapat satu slot tambahan di Champions League musim hadpaan.

Premier League pula berada di kedudukan ketiga dengan 12.13 mata. Premier League harus mengharapkan baki pasukan yang masih bertanding menghasilkan keputusan positif menjelang Krismas untuk menjadi dua liga terbaik untuk kiraan mata.

16 pasukan sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Champions League pada musim ini.

Bayern Munich, Copenhagen, PSV, Real Madrid, Napoli, Real Sociedad, Inter Milan, Atletico Madrid, Lazio, Borussia Dortmund, Paris Saint-Germain, RB Leipzig, Barcelona dan Porto semuanya sudah melayakkan diri.

Arsenal dan Manchester City pula menjadi dua waklil England selepas Manchester United dan Newcastle gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

BACA:  Ten Hag Tampilkan Gol Lipat Gulung Garnacho Sebagai Bukti Man Utd Ada Kemajuan