Tonali Berderai Air Mata Kesedihan Saat Dimaklumkan AC Milan Akan Dijual Ke Newcastle

Sandro Tonali sebenarnya tidak mempunyai niat meninggalkan AC Milan dan dilaporkan menangis saat dimaklumkan oleh pihak pengurusan kelab Serie A itu dia akan dijual.

Pemain tengah berusia 23 tahun itu melakukan 130 penampilan untuk Rossoneri setakat ini, dan akan menandatangani kontrak selama 6 tahun untuk menyertai Newcastle.

Kedua-dua kelab dikatakan telah mencapai kata sepakat untuk perpindahan tersebut dengan nilai €70 juta.

Pada masa yang sama Tonali yang dianggap sebagai Andrea Pirlo baharu bola sepak Itali akan menerima €9 juta setahun di St. James’ Park termasuk bayaran bonus.

Pada Jumaat lalu perpindahan pemain itu telah disahkan oleh watrtawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano yang berkata: “Transaksi perpindahan Sandro Tonali sudah lengkap, tetapi tidak akan diumumkan sebagai pemain baharu [Newcastle] sehingga semua proses dokumentasi dilengkapkan secara formal.

“Semua dokumen sudah sedia untuk dihantar, dan semua perjanjian sudah dipersetujui. Sudah tiada lagi keraguan. Kontrak berdurasi 6 yahun.”

Kejayaan mengikat Tonali sudah tentu membuatkan ramai penyokong The Magpies teruja.

Dibawa masuk oleh Eddie Howe untuk posisi deep-lying-midfielder, posisi tersebut sebelum ini sentiasa menjadi masalah untuk Newcastle pada musim lalu.

Berita kesedihan Tonali pula disebarkan oleh media Italu, La Repubblica.

Pemain itu dikatakan tidak dapat menahan kesedihan sehingga menangis kerana sayangkan AC Milan saat dimaklumkan mengenai perpindahan tersebut.

Tangisan tersebut boleh difahami kerana AC Milan adalah kelab yang disokong oleh Tonali sejak zaman kanak-kanak.

Ejen kepada Tonali pula pada Jumaat lalu menyifatkan tawaran daripada Newcastle sebagai peluang yang sukar untuk ditolak.

“Ini adalah tawaran yang sangat menarik. Newcastle akan menjadi projek yang sempurna untuk Tonali. Mereka begitu mahukan Sandro tanpa mengira harga yang harus dibayar,” kata ejen pemain itu.

“Dia akan menjadi pemain penting untuk The Magpies. Dan sudah tentu wang yang dijana daripada perpindahan ini akan membantu AC Milan dan Brescia yang membantu membangunkan pemain itu sejak usia remaja.”

BACA:  Lukaku Mengidam Untuk Bermain Di Itali, Anggap Juventus Pasukan Yang Hebat