Goodison Park Kecoh Selepas Pemain Newcastle Serbu Pickford Secara Berjemaah

Everton memperolehi kemenangan penting 3-0 ke atas Newcastle United untuk keluar daripada zon penyingkiran di dalam aksi Premier League di Goodison Park pada awal pagi tadi.

Walaupun demikian, ia turut dibayangi dengan kekecohan yang tercetus di kalangan pemain selepas tamat perlawanan.

Jaringan di babak kedua perlawanan oleh Dwight McNei, Abdoulaye Doucoure dan Beto memastikan tiga mata penuh dipungut oleh skuad kendalian Sean Dyce untuk menjarakkan diri mereka 10 mata berbanding pasukan di kedudukan ke-18 iaitu Luton Town.

Kemenangan tersebut diraikan dengan penuh kemeriahan oleh penyokong pasukan tuan rumah, dan ia turut disertai oleh pemain-pemain Everton.

Bagaimanapun penjaga gol Everton terpalit dengan kekecohan apabila diserbu oleh beberapa pemain Newcastle, dengan Bruno Guimares dan Joelinton jelas kelihatan bertengkar dengan penjaga gol antarabangsa England itu.

Rakaman video oleh Amazon Prime menunjukkan beberapa pemain lain berlari menuju ke arah Pickford untuk meleraikan kekecohan tersebut.

Joelinton yang jelas marah dilihat terpaksa dibawa keluar oleh pegawai keselamatan yang bertugas di stadium.

Sekurang-kurangnya 13 pemain lain daripada kedua-dua pasukan turut terlibat dalam kekecohan tersebut.

Walaupun insiden tersebut boleh dikawal, ketegangan jelas dapat dilihat di kalangan pemain kedua-dua pasukan.

Petugas stadium terpaksa masuk campur sebelum pemain diiring pegawai keselamatan menuju bilik persalinan.

Tidak dapat dipastikan apakah punca sebenar kejadian tersebut. Berdasarkan perkongsian beberapa penyokong yang berada di Goodison Park, insiden tersebut berlaku selepas Pickford meluncur dengan lututnya di hadapan sekumpulan penyokong pasukan pelawat.

Sekiranya tidak dipotong mata, The Toffees kini sepatutnya berada di kedudukan pertengahan liga di atas Chelsea – lawan yang mereka akan hadapi pada hujung minggu ini di Goodison Park.

BACA:  Ada Yang Pertikai Kenapa Pickford Tak Menang Golden Glove