Everton Cawangan Chile Sambar Bekas Ketua Jurulatih JDT

Selepas pedih tersingkir daripada pusingan kelayakan Copa Sudamericana kepada Union La Calera yang menyebabkan Francisco Meneghini dipecat, Everton cawangan Chile dengan pantas menyambar khidmat Esteban Andres Solari.

Esteban Andres Solari atau lebih dikenali sebagai Tano Solari adalah bekas pengendali jaguh Liga Malaysia, JDT pada musim lalu.

Berita pelantikan Solari oleh Everton diumumkan melalui rangkaian media sosial kelab itu.

“Everton de Vina del Mar mengesahkan kepada penyokong dan media bahawa persetujuan akhirnya tercapai untuk menandatangani Esteban Andres Solari Paggio, yang akan bergelar pengendali baharu skuad utama.

Ada sebab mengapa Everton de Vina del Mar dikenali sebagai Everton cawangan Chile. Ditubuhkan pada 24 Jun 1909, nama Everton diambil daripada kelab Everton yang beraksi di Premier League pada hari ini selepas siri jelajah kelab itu ke Chile pada ketika itu.

Bangga dengan pelantikan Solari, Everton turut berkongsi mengenai pengalaman jurulatih itu yang pernah mengendali skuad remaha Argentina dan turut pernah bergelar pembantu kepada Javier Mascherano dan Fernando Batista.

Pengalaman dan rekod mengemudi JDT meraih kejuaraan Liga Super buat kali ke-10, kejuaraan Piala FA, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia turut dinyatakan selain ratio kemenangan luar biasa Solari ketika bersama JDT.

Turut menyertai Solari adalah Rodrigo Barrios, jurulatih kecergasan JDT yang turut pernah bersama skuad kebangsaan Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar.

Everton mengesahkan Solari pada masa ini hanya menandatangani kontrak bersama kelab itu sehingga penghujung musim ini.

BACA:  Emery: Ozil Sudah Bersedia Untuk Bermain Di Tempat Lawan