“Tidak Adil Dan Melampau”- Datuk Bandar Liverpool Simpati Nasib Everton

Datuk Bandar Liverpool Steve Rotheram menyelar hukuman 10 mata yang dikenakan ke atas Everton oleh Premier League dan menyifatkan hukuman tersebut sebagai tidak masuk akal.

Turut menyifatkan hukuman yang diterima oleh Everton sebagai melampau, Rotheram kini berikrar untuk menyokong rayuan oleh kelab itu kepada pihak Premier League melalui satu surat yang diutus kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan itu.

Everton kini berada di zon penyinkiran selepas hukuman berat atas kesalahan melanggar peraturan kewangan.

Satu jawatankuasa bebas yang dibentuk untuk melakukan siasatan mendapati kelab itu merekodkan kerugian berjumlah £124.5 juta untuk laporan kewangan selama empat tahun sehingga Julai 2022 – jauh daripada jumlah £19.5 juta yang dibenarkan.

Hukuman tersebut mencetuskan kritikan daripada penyokong dan Rotheram turut tidak ketinggalan meluahkan pendapatnya melalui sepucuk surat kepada Richard Masters.

Melalui surat tersebut, Rotheram menggesa Premier League supaya lebih berlembut dalam pendekatan mereka menjatuhkan hukuman, selain menggunakan alternatif lain yang lebih adil untuk penyokong dan pemain.

“Hukuman yang dijatuhkan bukan sahaja tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi juga langsung tidak adil.

“Walaupun saya memahami keperluan dan kepentingan untuk mendisplinkan kesalahan yang dilakukan demi integriti di dalam sukan, ia juga penting untuk memastikan langkah hukuman yang adil dan pada kadar yang sepatutnya diambil. Saya tidak percaya hukuman ini setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Keputusan untuk menolak sehingga 10 mata daripada Everton adalah tidak betul dan membawa malapetaka, selepas mengambil kira kesanggupan kelab memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Premier League sebelum ini untuk memenuhi tuntutan FFP.

“Saya berada di belakang kelab ini sepenuhnya untuk melakukan rayuan dan mendesak agar kaedah yang lebih lembut atau alternatif lain digunakan sebagai hukuman untuk memastikan pemain dan penyokong tidak terpalit sekali.

“Sebagai antara anggota awal yang mengasaskan Football League dan kemudiannya Premier League, selama ini Everton adalah antara tunjang penting bola sepak Inggeris.

“Mereka sewajarnya menerima layakan yang lebih baik, adil, dan dilayan dengan lebih rasa hormat.”

BACA:  Permulaan Hambar Arsenal Dalam Saingan Premier League Musim 2021/22