FFP: Nottingham Forest Berdepan Pemotongan Mata, Everton Berisiko Dihukum Kali Kedua

Pasukan yang masih lagi gembira meraikan kejayaan menewaskan Manchester United iaitu Nottingham Forest kini berdepan dengan masalah besar.

Ini kerana The Times melaporkan bahawa kelab itu bakal menjadi Everton seterusnya kerana kesalahan FFP.

Everton sebelum ini dikenakan pemotongan 10 mata kerana salah laku dalam pengurusan kewangan melibatkan isu kerugian dalam tahun kewangan mereka.

Mujur skuad Sean Dyche segera bangkit selepas pemotongan 10 mata itu dan berjaya mencipta beberapa kemenangan untuk berada 1 mata di atas zon penyingkiran.

Kini The Times melaporkan bahawa Nottingham Forest benar benar berisiko untuk dikenakan hukuman yang sama atau lebih berat.

Forest disiasat di atas kesalahan melibatkan peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris. Lebih malang pada masa ini buat Forest kerana Premier League pastinya akan lebih tegas selepas tindakan yang mereka ambil ke atas Everton musim ini.

Hasil siasatan ke atas Forest ini akan diumumkan pada 14 Januari akan datang. Dan ianya akan menentukan nasib pasukan itu sama ada mereka akan bebas daripada hukuman. Ataupun dikenakan hukuman yang lebih berat atau sebaliknya.

Pakar kewangan bola sepak Kieran Maguire mendedahkan bahawa Nottingham Forest merupakan kelab yang sepatutnya berada dalam senarai paling berisiko kerana FFP.

Hal ini kerana Forest berbelanja sangat besar ketika mereka kembali semula ke EPL sebelum ini.

Bercakap kepada The Telegraph, jurucakap Nottingham Forest menyatakan bahawa kelab itu yakin bahawa mereka bersih daripada sebarang salah laku FFP dan mengikut semua piawaian yang telah ditetapkan.

Buat masa ini Nottingham Forest kekal tenang dengan siasatan yang dibuat ke atas mereka. Dan mereka menunggu sahaja hasil siasatan tersebut.

Jika mereka dituduh bersalah, kelab itu sedia melawan balik tuduhan tersebut kerana mereka tidak pernah melanggar peraturan FFP yang ditetapkan.

Nottingham Forest kini di tangga ke-15 dalam carta Liga Perdana Inggeris, hanya 5 mata di atas zon penyingkiran. Dan hanya 10 mata daripada pasukan paling corot dalam EPL.

Jika dipotong 10 mata misalnya, ianya pasti akan memberikan impak sangat besar buat Forest yang baru sahaja bangkit dalam beberapa perlawanan terakhir ini di bawah pengurus baharu mereka, Nuno Espirito Santo.

Lebih mengejutkan lagi apabila The Times turut melaporkan bahawa Everton berkemungkinan akan dikenakan hukuman kedua selepas satu lagi siasatan dibuat ke atas mereka. Ini menepati sistem peraturan kewangan terkini oleh EPL.

Di mana sistem terbaru, kesemua 20 pasukan harus menghantar laporan kewangan mereka pada 31 Disember 2023 dan hasil daripada laporan kewangan itu akan menentukan sama ada mereka melanggar peraturan atau tidak.

Keputusan tentang perkara itu akan diumumkan 2 minggu kemudian iaitu pada 14 Januari 2024.

Berita ini kurang menyenangkan peminat Everton yang berterusan mempersoalkan apa tindakan EPL ke atas Manchester City yang didapati bersalah dalam 115 pertuduhan salah laku kewangan.

Sehingga ke hari ini Man City masih lagi tidak dikenakan sebarang hukuman.

Beberapa bulan lalu, pengurus Pep Guardiola mempertahankan Manchester City sebagai kelab yang sentiasa patuh kepada peraturan FFP serta bersaing secara adil sepanjang masa.

Sambil menegaskan bahawa situasi yang melibatkan Everton adalah sangat berbeza dengan apa yang berlaku di Man City.

Pep Guardiola ketika itu bertekad dia akan terus kekal bersama City walaupun kelab itu disingkirkan ke divisyen ketiga sekalipun. Kerana beliau yakin Man City kelab yang bersih dan tidak melakukan sebarang aktiviti doping dari segi kewangan.

BACA:  Manchester United Teruskan Rentak Dengan 7 Kemenangan Berturut-Turut