Rashford Tampil Jelaskan Keraian Menyedihkan Selepas Jaringan Penalti Lawan Everton

Ramai penyokong Manchester United tertanya-tanya mengapakah Marcus Rashford kurang bersemangat ketika meraikan jaringan penaltinya ketika menentang Everton pada hujung minggu lalu.

Ada yang bertanggapan penyerang England itu sudah berubah dan tidak lagi dahaga untuk memburu jaringan selepas sering dikritik.

Malah ketika meraikan jaringannya, rakan sepasukannya seolah-olah mengarahkan Rashford untuk menuju ke arah penyokong untuk meraikan jaringan tersebut.

Sebenarnya ada kejadian menyedihkan di sebalik perkara itu. Sebenarnya Rashford baru sahaja kehilangan salah seorang ahli keluarganya sebelum perlawanan menentang Everton.

Dalam perlawanan tersebut skuad kendalian Erik ten Hag meneruskan rentak kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut di dalam aksi Premier League.

Dan selepas Alejandro Garnacho menggamamkan Goodison Park dengan jaringan akrobatiknya seawal minit ke-3, Rashford diberikan peluang untuk meletakkan nama di dalam senarai penjaring melalui sepakan penalti setelah Anthony Martial dijatuhkan oleh Ashley Young.

Kapten pasukan Bruno Fernandes yang antara tugasan utamanya adalah untuk mengambil sepakan tersebut bagaimanapun menyerahkan bola kepada Rashford.

Dan Rashford tidak mengecewakan apabila merembat deras untuk menewaskan Jordan Pickford, dan pemain itu kemudiannya mendongak ke arah langit dengan wajah kesedihan.

Semalam pemain itu akhirnya tampil menjelaskan keraian tersebut di Instagram yang didedikasikan khas kepada mendiang sepupunya.

Disertai dengan hantaran foto dirinya, Rashford menulis: “Saya mahu dedikasikan jaringan semalam kepada sepupu sayan yang meninggal dunia baru-baru ini. GBNF (Gone but never forgotten).”

Jaringn tersebut adalah gol kedua Rashford untuk United di Premier League pada musim ini. Kali terakhir pemain itu mencetak nama sebagai penjaring adalah ketika United tewas 3-1 kepada Arsenal pada awal September lalu.

Jelas sekali penjaring terbanyak untuk United pada musim lalu itu kini sedang menghadapi krisis keyakinan, dan Fernandes sengaja menyerahkan tugasan menyempurnakan sepakan penalti pada hujung minggu lalu untuk menambah keyakinan pemain itu.

“Saya berpendapat Rashfor memerlukan sedikit keyakinan, dan Marcus [Rashford] juga boleh menyempurnakan penalti dengan baik. Saya yakin 100% dia akan menjaringkan penalti itu,” jelas Fernandes kepada Sky Sports.

“Ia bukan mengenai siapa yang harus mengambilnya. Ia mengenai menjaringkan gol, dan Marcus melakukannya dengan sempurna.

“Jelas sekali seorang pemain penyerang atau pemain sayap begitu ingin untuk menjaringkan gol. Mereka perlu menjaringkan gol. Itu sebahagian perkara di dalam bola sepak, dan menjaringkan gol akan memberikan anda lebih banyak keyakinan.

“Dan saya berpendapat selepas penalti itu, Marcus akan sukar dikekang. Dia akan mampu berhadapan apa sahaja. Jadi saya fikir adakalanya anda hanya perlu mendapatkan peluang untuk mendapatkan keyakinan. Marcus beraksi dengan cemerlang untuk kami.”

Tumpuan skuad United kini akan terarah ke pertandingan Champions League dalam perlawanan wajib menang menentang Galatasaray pertengahan minggu ini.

Rashford bagaimanapun tidak akan beraksi dalam perlawanan tersebut selepas dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Copenhagen sebelum ini.

BACA:  Man Utd Didenda Kerana Didapati Langgar FFP