Bintang Premier League Terkejut Rumah Sewa Jadi Ladang Ganja

Tabloid The Sun mendedahkan sebuah kumpulan kongsi gelap telah mengambil alih kediaman seorang pemain bintang Premier League yang tidak dinamakan dan memaksa penghuninya menukar rumah tersebut menjadi kebun dan kilang memproses ganja.

Laporan tersebut mendedahkan hartanah yang terletak di barat laut England itu dimiliki oleh seorang pemain ternama, tetapi telah disewakan.

Penyewanya yang merupakan seorang wanita dilaporkan hidup dikelilingi oleh tanaman pokok ganja.

Tindakan pihak polis menyerbu kediaman tersebut menyebabkan penyewa dan pemain itu kini disoal siasat oleh pihak polis.

Sumber kepada The Sun mendedahkan walaupun hartanah tersebut dimiliki oleh pemain itu, segala urusan penyewaan dikendalikan oleh ahli keluarganya.

Pihak polis mempercayai hartanah tersebut telah dijadikan ladang atau kebun ganja secara besar-besaran dan rampasan turut telah dilakukan sebelum tanaman tersebut dimusnahkan.

Pemain tersebut kini terpaksa menampilkan dokumentasi sebagai bukti dirinya tidak mendiami hartanah dan kediaman tersebut dan ia sebenarnya telah disewakan kepada pihak lain.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Dadah 1971 di mana penghasilan dan pemilikan ganja dengan niat untuk mengedarkannya boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 14 tahun.

Tuan rumah atau pemilik kediaman yang gagal melaporkan aktiviti mencurigakan turut boleh dijatuhkan hukuman yang sama.

Ladang ganja haram adalah masalah di UK dengan lebih 1,000 serbuan dilakukan sepanjang musim panas lalu.

Laporan mendedahkan rampasan bernilai £130 juta telah dirampas dan dimusnahkan. Setiap pokok/tanaman ganja dikatakan benilai £840. Lebih 1,000 tangkapan telah dibuat berkaitan jenayah tersebut oleh pihak polis di UK pada tahun lalu.

BACA:  Premier League 2021/22: Arsenal 3-1 Manchester United