Everton Bakal Perolehi Mata Negatif Selepas Premier League Desak Hukuman Kerana Langgar FFP

Pihak Premier League kini sedang mendesak agar hukuman pemotongan mata yang besar dikenakan ke atas Everton, dan kelab itu hampir pasti akan tersingkir daripada divisyen utama Liga Inggeris itu sekiranya hukuman tersebut diteruskan kerana kesalahan melanggar peraturan kewangan pada muskm 2021/22.

Kes tersebut kini sedang diadili oleh sebuah komisen bebas selepas kelab itu merekodkan kerugian hampir £372 juta sepanjang tempoh tiga tahun – lebih daripada had kerugian £250 juta maksimum yang dibenarkan oleh peraturan Premier League.

Difahamkan pihak komisen mempunyai kuasa untuk memuktamadkan hukuman, di mana hukuman pemotongan 12 mata boleh dilakukan.

Situasi tersebut akan menyebabkan kedudukan kutipan mata Everton berdasarkan kedudukan terkini akan menjadi -5. Pada masa yang sama Everton turut akan berhadapan denda dan larangan pembelian pemain.

Kedua-dua pihak bagaimanapun berhak untuk melakukan rayuan terhadap keputusan akhir yang diumumkan oleh komisen.

Pihak Premier League sudah tentu akan mendesak pemotongan maksimum 12 mata akan dikenakan, namun beberapa faktor lain berpotensi mengurangkan hukuman sedemikian.

Pertama, sebarang pemotongan mata tidak semestinya akan terus dilaksanakan pada musim ini, dan ia terpulang kepada pihak komisen bilakah hukuman tersebut akan dilaksanakan.

Kedua, hukuman yang lebih realistik ialah pemotongan mata dengan sebahagian daripadanya dibawa ke hadapan.

Burnley dan Leeds yang tersingkir pada musim lalu bagaimanapun mendesak Premier League agar hukuman paling berat diberikan kepada Everton.

Sebelum ini Everton bertegas mereka tidak melakukan sebarang kesalahan kewangan.

Bagaimanapun pihak kelab tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkembangan terbaru ini.

Pelabur Amerika Syarikat 777 Partners kini sedang menanti kelulusan Premier League untuk mengambil alih kelab itu daripada Farhad Moshiri di Goodison Park.

Everton turut berhadapan pendakwaan berasingan kepada Premier League atas dakwaan gagal menjelaskan bayaran kepada ejen pemain.

Agensi global itu dilaporkan sudah menghantar beberapa pucuk surat melalui peguam untuk menuntut invois bernilai ratusan ribu pound.

BACA:  Premier League 2020/21: Southampton 2-3 Manchester United